HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 Jun 2011

Kerajaan patut hapus hukuman sebat warga asing

Roketkini.com


KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia harus menghapuskan hukuman-hukuman kejam seperti sebat terhadap pendatang tanpa izin kerana ia bertentangan dengan keadilan yang bertujuan memulihkan, bukan “memusnahkan” pesalah.

Setiausaha Hal-Ehwal Antarabangsa DAP Liew Chin Tong berkata cara hukuman yang lebih bersifat pemulihan perlu diguna pakai kerajaan agar pesalah tidak saja dihukum, tetapi memberi peluang kepadanya untuk bertaubat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera mengulas isu berkenaan selepas menerima jawapan daripada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang dijelaskannya sewaktu ucapan penangguhan bahas di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menurut jawapan yang dikeluarkan menteri tersebut, bermula dari tahun 2005 sehingga 2010, seramai 29,759 pekerja asing telah dikenakan hukuman sebat di bawah Akta Imegresen 1959/63.

Menurut Liew, kebanyakan warga asing tanpa izin yang datang ke Malaysia merupakan mangsa perdagangan manusia di negara asal mereka dan kemungkinan juga akibat ejen jahat di Malaysia.

Justeru itu, beliau berkata, tidak adil lagi kejam bila kerajaan menjatuhkan hukuman berat mereka yang sudah pun menjadi mangsa perdagangan antarabangsa.

Liew berkata hampir 60 peratus yang dikenakan hukuman sebat adalah warga Indonesia.

“Dengan ini, tidak sukar difahami sentimen anti-Malaysia kalau hukuman begitu kejam diteruskan,” katanya.

Pada 14 Mac lalu, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mendesak kerajaan menghentikan segala bentuk penyeksaan dan penganiayaan terhadap pekerja asing, pelarian, dan pencari suaka.

Tiada ulasan: