HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Jun 2011

Delegasi Yayasan Amal gagal masuk ke Libya

Mohd Rashidi Hassan


AS-SALLUM, (Mesir): Rombongan Misi Kemanusiaan Yayasan Amal Malaysia bagi meninjau keadaan pelarian Libya tiba di bandar yang terletak di sempadan Mesir-Libya.

Bagaimana pun selepas merentasi padang pasir sejauh 1000 km dan melalui lima check point tentera, delegasi tidak dibenarkan masuk ke Libya dengan alasan keselamatan dan suasana yang tidak menentu.

Pihak tentera Mesir membuat kawalan ketat di sempadan Mesir-Libya, memeriksa setiap kenderaaan dan individu yang berhasrat memasuki Libya.

Pada setiap check point pihak tentera pasport setiap individu termasuk delegasi Yayasan Amal tanpa kecuali.

Delegasi diketuai Ketua Setiausaha Yayasan Amal, Abd Hamid Seman disertai pegawai perubatan Dr Abdul Kadir Jailani, Che Salmi Che Ibrahim bersama wakil Harakah.

Bagaimana pun delegasi Malaysia berkesempatan mengadakan perbincangan dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan, Nidaul Khayr yang diasaskan oleh Ikhwan Muslimin Libya yang dipimpin Ustaz Abdul Wahab Abdullah

Menurut Ustaz Wahab, terdapat kira-kira 100 ribu keluarga yang terperangkap akibat perperangan di antara tentera Libya yang dipimpin Muammar Gaddafi dengan rakyat.

Mereka katanya memerlukan bantuan makanan dan perubatan yang sukar diperolehi.

"Kita terpaksa berhadapan dengan beribu-ribu pesakit yang terlantar di hospital, mereka cedera akibat perang dan ada yang mati akibat kekurangan alatan perubatan," katanya.

Menurut beliau, pelarian Libya yang paling ramai berada di sempadan Tunisia, manakala pelarian di sempadan Mesir sudah kembali ke kampung masing-masing.

"Buat masa ini tidak berlaku peperangan berhampiran sempadan Mesir, bagaimanapun pelarian yang pulang masih terperangkap kerana ketiadaan bekalan makanan dan perubatan.

"Di Libya, setiap kawasan dikuasai oleh Ketua Kabilah yang mempunyai autoriti sendiri. Jadi keadaan amat bahaya untuk kita lalui, jika tidak mendapat kebenaran mereka," jelas beliau.

Dalam mesyuarat tersebut Abd Hamid, bagi pihak Yayasan Amal Malaysia bersetuju untuk menghantar bantuan makanan, perubatan dan keperluan kanak-kanak dalam waktu yang terdekat.

Katanya, hasil perbincangan dengan pihak terbabit, satu treler barangan untuk pelarian yang memerlukan, mencecah USD35 ribu.

"Kita akan mengadakan kerjasama dengan Agensi Perubatan Mesir dan Nidaul Khayr. Kita akan aturkan segera bantuan.

"Kita amat memerlukan sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin dan sesiapa yang berhasrat menghulurkan sumbangan sila salurkan melalui akaun Maybank Yayasan Amal Malaysia, 553010122090," katanya.

Rombongan Yayasan Amal berlepas pulang selepas dua hari di sempadan.

Tiada ulasan: