HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Jun 2011

DAP: Selesai isu ‘murtad’ bukan Muslim di JPN, bukan urusan Mahkamah Syariah


KUALA LUMPUR – DAP menggesa Putrajaya agar menyelesaikan segera masalah berkaitan tukar agama bukan Muslim dengan mengesyorkan supaya ia diselesaikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), bukannya Mahkamah Syariah.

Ini menurut Timbalan Setiausaha Agung DAP Datuk Ngeh Koo Ham (gambar), Mahkamah Syariah tiada kuasa untuk membuat keputusan status keagamaan ke atas bukan Muslim.

Beliau juga menegaskan keputusan Mahkamah Syariah ke atas orang bukan Muslim menyalahi peruntukan undang-undang.

“Penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengenai meluluskan permohonan 135 yang keluar Islam sebenarnya bukan Islam dan telah tersilap daftar sebagai Muslim oleh JPN membuktikan ada sesuatu yang tidak betul dalam pentadbiran negara.

“Yang kedua, Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa ke atas bukan Muslim yang mana hakim perlu menolak permohonan sedemikian dan meminta ia diselesaikan oleh JPN,” kata beliau.

Katanya, sebarang keputusan dibuat Mahkamah Syariah ke atas bukan Muslim menyalahi undang-undang.

“Ketiga, mahkamah diwujudkan untuk menyelesaikan pertikaian yang timbul, bukan mengesahkan status agama seseorang. Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama setiap rakyat, oleh itu status keagamaan terserah kepada individu,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Beruas itu berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Jamil Khir awal minggu lalu, yang mengatakan isu seramai 135 Muslim meninggalkan Islam antara 2000 hingga 2010 adalah tidak benar kerana ia hanya membabitkan isu tidak sah masuk Islam.

Jamil Khir berkata, 135 kes tersebut bukanlah kes Muslim meninggalkan Islam tetapi kes tersebut telah didaftar di bawah kes murtad.

Beliau berkata terdapat kes di mana terdapat orang bukan Islam yang mempunyai nama Melayu-Islam membuat permohonan menukar agamanya di Mahkamah Syariah.

“Nama macam Islam-Melayu, macam nama Muhammad. Tetapi bila pergi daftar, Pejabat Pendaftaran terus masukkan agama Islam, sedangkan dia nama Islam tetapi dia bukan (Islam).

“Jadi, (kes) ini dibenarkan mahkamah supaya dibetulkan balik agama dia. Itu antara berapa contoh yang berlaku kekeliruan. Jadi tak timbul (isu) mahkamah meluluskan (murtad),” katanya.

Menurut Jamil Khir, kes sebegitu biasanya berlaku di Sabah dan Sarawak.

Menurut Ngeh, langkah membawa kes bukan Muslim ke Mahkamah Syariah dilihat “menindas” mereka kerana terpaksa melalui sesi kaunseling yang sepatutnya hanya disertai Muslim yang ingin keluar Islam.

Beliau juga mencadangkan agar Mahkamah Syariah memberi tumpuan kepada kes-kes yang sudah lama tertunggak daripada melibatkan diri dalam isu bukan Muslim yang boleh diselesaikan JPN.

“Membawa kes bukan Muslim ke Mahkamah Syariah bersifat menindas kerana mereka terpaksa melalui sesi kaunseling supaya tidak keluar Islam yang boleh mengambil masa berbulan-bulan, malah ada kes yang memakan masa setahun dan tidak diluluskan.

“Seseorang yang memeluk Islam perlu mendaftarkan diri di jabatan agama. Akuan bersumpah dengan mengisystiharkan dia telah keluar Islam di jabatan agama sepatutnya sudah cukup,” katanya.

Justeru kata Ngeh, orang bukan Islam yang terpaksa melalui perbicaraan di Mahkamah Syariah menyebabkan mereka berada dalam keadaan yang tidak menentu selain sukar untuk berkahwin dengan pasangan yang juga bukan Islam.

“Saya tahu ramai yang tidak memeluk Islam, tidak pernah melihat atau membaca al-Quran dan tidak pernah memasuki masjid tetapi disebabkan situasi begini yang mana nama mereka sama dengan nama Islam, mereka mahu menjadi bukan Muslim dan mahu berkahwin dengan bukan Muslim.

“Selagi tiada peluang untuk mereka berkahwin, mereka akan tinggal bersama tanpa ikatan dan melahirkan anak luar nikah yang mana ramai yang akan menjadi mangsa keadaan seperti ibu bapa mereka,” katanya.

Tambah beliau, sepatutnya semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas diberikan kebebasan penuh untuk memilih agama masing-masing.

“Saya minta kerajaan agar menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan pertukaran agama dan keluar Islam dengan mengikut peruntukan-peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Tiada ulasan: