Ditulis oleh Shakira Buang
SHAH ALAM : Exco Kerajaan Negeri Selangor kesal dengan kehadiran anggota polis di Uptown Shah Alam semalam yang telah menukar suasana kemeriahan majlis promosi kempen Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menjadi tegang.
Exco Pembangunan Usahawan Negeri Selangor Dr Yaakob Sapari berkata, kehadiran pihak polis telah menimbulkan rasa kurang selesa kepada para pengunjung.
“Keadaan menjadi lebih meruncing apabila pihak polis membuat sekatan jalan raya yang menyebabkan kesesakan yang teruk,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau juga yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik mengakui menerima beberapa aduan daripada para peniaga bahawa hasil jualan mereka terjejas akibat insiden tersebut.
Dr Yaakob yang turut turun padang melawat kawasan Uptown, tiba pada jam 11:30 malam. Walaupun jaminan keamanan telah diberikan kepada polis, namun pihak polis terus mengepung tempat kejadian sehingga jam 3 pagi.
Ekoran kejadian itu, beliau mendesak agar polis membayar segala ganti rugi yang ditanggung oleh peniaga dan pihak pengurusan Uptown atas tindakan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan