HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 Jun 2011

Bersih 2.0: Hadiah lumayan gambar provokasi terbaik

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Orang ramai di negara ini yang akan menyertai Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini berpeluang merebut hadiah lumayan yang disediakan oleh PAS, sekiranya berjaya merakamkan gambar-gambar insiden provokasi terbaik yang dilakukan oleh pihak tertentu pada himpunan itu.

Tawaran tersebut dibuat bagi memberikan semangat kepada setiap pihak yang ingin hadir pada himpunan itu agar tidak takut dengan ugutan pelbagai pihak yang berusaha menghalangnya.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, berdasarkan pengalaman dalam himpunan-himpunan aman lalu, pihak berkenaan telah melakukan pelbagai tindakan provokasi bagi memburukkan PAS, penganjur dan para peserta.

Menurut beliau, tindakan tersebut mungkin akan turut dilakukan oleh pihak-pihak terbabit pada Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini, malah mungkin akan lebih ketara lagi.

Katanya, bagi membolehkan tindakan tidak bertanggungjawab mereka itu diketahui umum dan diambil pengajaran oleh pihak-pihak terbabit, aksi-aksi mereka itu amat perlu dirakam untuk dijadikan tontonan semua pihak.

"Aksi-aksi yang dirakam itu pula tentunya pelbagai. Ada yang menarik, agak menarik, kurang menarik dan tidak menarik. Jadi untuk membolehkan kita mendapatkan rakaman insiden-insiden provokasi yang menarik, PAS akan menyediakan hadiah lumayan bagi mereka yang berjaya merakam gambar terbaik," katanya pada sidang akhbar bersama Harakah di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini, katanya, tetap akan diadakan walaupun cuba dihalang oleh pihak-pihak tertentu dengan pelbagai cara kerana ia adalah himpunan yang diadakan oleh rakyat untuk tujuan yang murni.

"Ahli-ahli PAS dan orang ramai tidak perlu takut untuk menyertai himpunan itu kerana ia diadakan atas tujuan yang murni oleh Bersih. Walaupun begitu, jangan sekali-kali membawa senjata.

"Himpunan itu adalah himpunan aman. Jika membawa senjata dibimbangi akan mencetuskan kejadian tidak diingini pula. Tujuan himpunan itu diadakan amat jelas, iaitu untuk mendesak kerajaan mengadakan pilihanraya yang bersih dan adil di negara kita dan desakan itu mestilah didengar oleh kerajaan," tegasnya.

Mengulas dakwaan sesetengah pihak mengenai himpunan itu yang antara lain dikatakan akan mencemarkan imej negara di mata pelancong, beliau berkata, dakwaan tersebut datangnya dari mereka yang tidak faham tentang demokrasi.

Dalam negara demokrasi, katanya, rakyatnya tidak dihalang dari mengadakan perhimpunan aman bagi mendesak kerajaan melakukan perubahan, apatah lagi setelah sistem pilihanraya di negara kita terbukti tempang sejak sekian lama.

"Sesuai dengan perhimpunan aman yang diadakan, ia tidak akan mendatangkan sebarang kesan negatif terhadap negara jika diadakan, malah ia akan menimbulkan penghormatan rakyat asing itu sendiri terhadap negara kita apabila mereka dapat melihat dengan jelas sikap rakyatnya yang sentiasa menjaga keamanan termasuk ketika berdemonstrasi.

"Manakala pelancong pula bukan hanya terdiri daripada warga asing. Malah rakyat di negara ini yang berkunjung ke sesuatu destinasi itu juga adalah pelancong," jelasnya.

Dakwaan seperti itu, katanya, adalah sebahagian dari usaha menghalang himpunan tersebut diadakan, tetapi Bersih dan rakyat negara ini sudah tidak akan berganjak dari keputusan untuk mengadakan dan menyertai perhimpunan itu, akibat sudah tidak tertahan dengan tindakan buruk yang dilakukan oleh kerajaan BN terhadap rakyat selama ini khususnya dalam pilihanraya.

Bagi keselamatan diri, beliau menasihatkan mereka yang ingin menyertai himpunan itu agar membawa tuala basah, cuka dan garam untuk digunakan sekiranya diserang dengan gas pemedih mata oleh pihak berkuasa.

Tiada ulasan: