HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Jun 2011

Mohamad Sabu jawab isu Syiah

Harakahdaily


Ikuti pandangan yang diluahkan TIMBALAN PRESIDEN PAS, HAJI MOHAMAD SABU kepada wartawan AHMAD LUTFI OTHMAN, SAADON AKSHAH dan SALMIYYAH HARUN, di Pejabat Harakah, Kuala Lumpur.

HARAKAH: Perwakilan PAS telah memilih saudara sebagai Timbalan Presiden dalam muktamar lalu, bagaimana pula dengan sambutan pada peringkat akar umbi?

MOHAMAD SABU: Kehadiran wartawan pada muktamar kali ini luar biasa sekali. Khususnya liputan akhbar akhbar Cina begitu menggalakkan. Apabila keputusan pemilihan diumumkan, saya nampak sambutannya begitu ghairah terutama orang bawah, misalnya yang berada di khemah, Unit Amal, pemerhati, ahli PAS dan penyokong, yang meletakkan harapan cukup tinggi kepada PAS. Mereka berharap perubahan pimpinan akan mencetuskan satu ledakan.

Ini satu pengharapan tinggi yang amat saya bimbang kalau tidak berlaku apa-apa perubahan yang boleh membawa kebaikan dan penambahbaikan kepada parti. Nanti, kita akan hadapi kritikan hebat ahli dan para penyokong jika mengabaikan harapan mereka.

Boleh jelaskan secara umum visi dan misi saudara sebagai Timbalan Presiden?

Saya sudah bercakap banyak kali, secara umumnya tugas timbalan ialah membantu Presiden. Saya bukanlah yang terbaik, tetapi insya-Allah akan berusaha ke arah itu ... iaitu melebarkan pengaruh Parti Islam kepada orang bukan Melayu khasnya India, Cina dan lain-lain. Saya dianggap agak senang dan biasa bergaul dengan mereka.

Saya juga akan terus berusaha melalui parti untuk memahamkan rakyat tentang demokrasi, hak asasi dan sebagainya. Seperti saya timbulkan dalam muktamar, orang Melayu amat lemah dan rendah dalam memahami hak asasi. Misalnya, apabila seorang wanita Cina kononnya dibogelkan dalam lokap, yang mendominasi isu ini ialah DAP dan akhbar Cina tetapi bila Nora menceritakan bagaimana dibogelkan dan ketuk ketampi ekoran tangkapan demonstrasi, sikap orang Melayu begitu dingin.

Begitu juga kematian Beng Hock. Orang Cina dan akhbar Cina cukup mengambil berat isu ini. Tetapi apabila berlaku kepada pegawai kastam Sarbani, terbukti orang Melayu begitu dingin dalam masalah hak asasi. Saya akan cuba melalui parti bagaimana berusaha memartabatkan isu hak asasi, demokrasi serta hak dan kepentingan rakyat. Saya akan membantu Presiden dan parti dalam mengetengahkan isu-isu seperti ini.

Soalnya, masyarakat bukan Melayu terutama orang Cina semakin dekat dan menaruh keyakinan kepada PAS, yang menjadi masalah ialah meraih sokongan pengundi Melayu terhadap PAS?

Memang kita kena berjalan serentak, bahkan usaha untuk mendapat sokongan orang Melayu perlu dilipatgandakan. Kita harap kerjasama terutama sekali dengan Ketua Penerangan baru, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, agar dapat memperbanyakkan program untuk menerangkan perjuangan PAS di samping menjelaskan kedudukan orang Melayu.

Apa pun, kita tidak mahu yang dikendong berciciran. Kita akan bergerak serentak sebab untuk ke Putrajaya, kita mesti meningkatkan sokongan orang Melayu sekurang-kurangnya 5-10 peratus dan meningkatkan sokongan bukan Melayu sedia ada.

Mengapa orang Melayu seperti tidak sensitif dengan isu-isu hak asasi, demokrasi, rasuah dan sebagainya sedangkan semua isu-isu itu dekat dengan tuntutan Islam?

Pemahaman siasah orang Islam perlu dipertingkatkan. Dalam soal amar maaruf nahi mungkar, sepatutnya orang Melayu mendahului kaum lain. Malangnya, kita nampak dalam soal rasuah dan penyelewengan, kaum lain mendahului. Kita harap ulama-ulama kita lebih dapat memainkan peranan untuk meningkatkan kefahaman tentang good governance, kerajaan yang telus, akauntabiliti, integriti serta menentang akta-akta zalim seperti ISA dan OSA.

Kita harap PAS, melalui ulamanya, akan lebih bercakap dalam hal-hal seperti ini supaya apa yang kita laungkan, misalnya prinsip-prinsip pemerintahan seperti soal hisbah dapat dijelmakan. Islam telah menggariskan prinsip-prinsip asas termasuk dalam pemerintahan, yang cukup baik untuk dipraktikkan. Masalahnya, mengapa orang lain pula yang dilihat lebih sensitif "memperjuangkannya, seperti mencegah kemungkaran dan penyelewengan.

Saudara juga sering menyebut soal memperkasakan Majlis Syura Ulamak. Dalam keadaan Timbalan Presiden tidak disandang lagi oleh ulama, begitu juga dengan Naib-Naib Presiden, tentu lebih ramai yang berminat untuk mendengar penjelasan lanjut saudara.

Ulama mesti berada di tempat yang paling tinggi. Sebab itulah selepas 1983, selepas terbentuk Majlis Syura Ulama, peranan ulama, yang sebelum itu menduduki Dewan Ulamak, dipertingkatkan lagi. Majlis Syura kini berada pada tempat tertinggi. Majlis ini betul-betul perlu diperkasakan sebagaimana saya tekankan dalam muktamar.

Di samping mengawal dasar, perlembagaan dan disiplin, mereka juga boleh "mengaudit" Jawatankuasa PAS Pusat. Supaya mereka yang melakukan kesilapan dan kesalahan dasar boleh dipanggil dan ditegur. Juga boleh mengenakan tindakan disiplin. Dengan itu, bukan sebarang orang boleh berada dalam Majlis Syura. Seorang yang berpengalaman, berumur, berilmu, bertakwa, dan mereka mempunyai ciri-ciri seorang yang dikatakan 'manusia yang sempurna'.

Ada pun jawatan lain yang bersifat pentadbiran dan eksekutif, ia boleh diberi kepada sesiapa sahaja yang layak. Kalau kebetulan seorang yang berpendidikan agama dilihat lebih sesuai di situ, pilihlah dia. Kalau yang berkelulusan profesional atau aktivis mampu berada di situ, maka ahli berhak memilihnya.

Tetapi Majlis Syura ia mesti 'special' sebab orang inilah yang akan mengawal segala disiplin dalam jemaah itu sendiri, terutama mengawal dasar dan perlembagaan.

Setakat ini bagaimana penilaian saudara terhadap Majlis Syura?

Perlu dipertingkatkan. Kita mahu sebarang keputusan Majlis Syura ini melepasi sempadan. Kita ambil contoh mudah, tarian poco-poco. Majlis Syura membuat keputusan dan memberi pandangan. Pandangan Majlis Syura itu akan jadi bukan hanya rujukan ahli PAS, malah bukan ahli dan sebagainya. Ataupun satu isu yang menjadi kontroversi, misalnya mengubah daripada dagu besar menjadi kecil. Majlis Syura akan buat satu pandangan tapi ia bukan fatwa. Dengan itu pandangan Majlis Syura itu sekurang-kurangnya dibincangkan dan diperdebatkan, akhirnya ia menjadi rujukan orang lain. Maknanya, wibawa Majlis Syura menyeberang sempadan parti.

Di samping sokongan dan harapan tinggi ahli parti dan rakyat terhadap saudara, terdapat juga suara-suara sumbang yang mengaitkan saudara dengan mazhab Syiah ....

Saya kebetulan membesar dalam perjuangan, menyertai PAS pada 1978 dan tahun 1979 berlaku revolusi Islam Iran. Perkembangan dan kebangkitan di sana menjadi tumpuan ramai. Kemudian kemunculan gerakan Islam seperti Hizbullah, yang juga dipimpin seorang ulama yang memakai serban.

Kita ambil contoh Imam Khomeini. Macam mana seorang ulama yang menggerakkan rakyat sehingga boleh buat revolusi. Isu apa yang dipakai? Mereka tidak sebut pertentangan kelas. Tetapi beliau mengemukakan isu Mustakbirin dan Mustad'afin, iaitu yang menindas dan yang kena tindas, 'oppressed and oppressors'.

Bagaimana Khomeini berjaya meletakkan semua golongan dibawahnya. Sama ada sosialis, komunis, liberal dan sebagainya berketuakan dia. Yang ini kita perlu belajar, bukan soal mazhabnya.

Saya juga menghormati, bahkan dalam ucapan-ucapan saya tidak lekang menyebut Imam Hassan Al-Banna. Dia seorang guru agama biasa tetapi dia berdakwah dan berjaya masuk sampai ke bar dan kelab malam. Bagaimana dia boleh memimpin semua peringkat, sehingga intelektual universiti, profesor juga ada di bawah naungannya. Pemimpin macam ini saya amat hormat.

Begitu juga dengan Hizbullah. Di Beirut, yang digelar 'Paris of the East', tempat tarian gelek, tarian separuh bogel, minum arak, pakai bikini, tiba-tiba di tengah kota ini muncul satu badan yang begitu disiplin dan begitu menitikberatkan hal kebajikan. Serta boleh mengumpul anak muda dan bagaimana mereka dilatih sehingga sanggup korbankan nyawa harta benda untuk melawan dengan Israel.

Kemudian, dari sudut politik, mereka boleh menarik golongan kristian Michael Aoun yang bersenjata dan kumpulan sekular yang lain berada di bawah naungan Hizbullah. Ini taktik dan strategi politik. Inilah yang saya kagum dan mahu belajar daripada mereka.

Begitu juga Sheikh Ahmad Yasin yang berjuang daripada muda sehinggalah beliau berkerusi roda terus berjihad. Sesetengah kita bila masuk umur tua sedikit cepat-cepat menyerahkan kepada orang muda, "biar kami tua-tua ni duduk di belakang". Tetapi Sheikh Ahmad Yasin ini menyemarakkan semangat jihad sehingga melahirkan Hamas.

Jadi contoh-contoh inilah yang saya kagum. Kadang-kadang saya tidak tahu pun latar belakang soal anutan mazhab mereka, tetapi saya melihat dari sudut ilmu bagaimana mereka mengorak langkah dan memimpin. Dan dalam dunia moden ini, bagaimana ulama ini boleh diterima umum.

Kita ambil contoh macam Hassan Nasrullah. Penyanyi, ahli sukan, artis, semuanya boleh menerimanya. Kita kena lihat di mana kekuatan mereka. Begitu juga dengan dunia intelektual. Saya minat pandangan Dr Kalim Siddiqui, ahli sains sosial daripada England yang meninggal dunia di Afrika Selatan.

Saya mengingati juga Dr Ali Shariati tanpa mengetahui apa mazhab dia. Beliau membuat kupasan yang menarik terhadap sejarah, haji, firaun, kerajaan Mongul yang jatuh di India. Saya minat membaca pemikiran seperti ini. Begitulah juga dengan Dr Fathi Yakan yang membicarakan langkah awal perjuangan Islam.

Bagi saya bukan melihat pemahaman, anutan dan sebagainya. Dan kadang-kadang saya tidak tahu apa pegangan dan anutan mereka tetapi saya melihat dari sudut kepimpinan.

Begitu juga di tengah-tengah kelemahan orang Islam yang tidak yakin langsung tentang nilai jati diri sehingga orang berkata "macam mana hendak merdeka, orang Melayu, jarum pun tidak boleh buat, sedangkan British ada kapal perang".

Di sini pula muncul Jamaluddin Afghani yang memberi nafas baru kepada orang Islam untuk yakin kepada kekuatan diri menuntut kemerdekaan: "Kamu boleh mencapai kemerdekaan sendiri, kalau bersedia untuk berjuang".

Inilah sikap saya dalam hal merujuk kepada pejuang-pejuang, yang tidak langsung melihatnya dari sudut latar belakang mazhab mereka.

Tiada ulasan: