HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Jun 2011

Presiden PAS: Konsep negara berkebajikan, istilah ‘welfare state’ beza

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengetengahkan konsep negara berkebajikan ketika muktamar parti itu awal bulan ini berkata, perkataan berkebajikan berbeza dengan istilah “welfare state”.

Menurut Hadi, apa yang pihaknya membentangkan tidak bercanggah dengan Islam dan diterima oleh masyarakat majmuk kerana Islam adalah agama rahmat kepada seluruh alam.

“Perkataan berkebajikan berbeza dengan ‘welfare state’. Berbeza dengan kebajikan difahami oleh beberapa teori politik.

“Tetapi dipancarkan daripada matlamat kedatangan Islam yang dinyatakan firman Allah Ta’ala kepada Nabi-Nya Muhammad s.a.w.,” kata beliau dalam temu bual disiarkan Harakah terbitan minggu ini.

Hadi (gambar) menambah PAS tidak menafikan Umno juga memberi bantuan kebajikan masyarakat, melakukan amal-amal kebajikan tetapi “tidak menyeluruh, tidak rata dan mengemukakan secara adil kepada seluruh rakyat.”

“Di mana amalannya tidak ada roh yang menghitung dosa dan pahala. Amalannya berlaku diskriminasi, masih terdapat perbezaan antara kaum tanpa menafikan bahawa umat Islam adalah menjadi Bumiputera merupakan rakyat terbesar yang paling miskin memerlukan pertolongan,” kata Ahli Parlimen Marang ini.

“Alhamdulillah, bertitik tolak daripada negara berkebajikan ini untuk menjelaskan lagi mengapa PAS menerima resolusi Pakatan Rakyat yang diisytiharkan dalam konvensyen pertama di Shah Alam pada Disember 2009, menerima Islam sebagai agama persekutuan,” katanya lagi.

Oleh itu kata beliau, untuk menjelaskan melalui negara berkebajikan ini kepada seluruh rakyat untuk mengemukakan model yang sebenar, yang gagal dilakukan oleh Umno.

“Keraan negara berkebajikan ini bukan sahaja melalui kebajikan dilakukan oleh negara secara sempurna termasuklah mereka yang memimpin negara mestilah ahli kebajikan, mendirikan sembahyang, mempunyai hubungan baik dengan Tuhan, adil dan tidak melakukan rasuah, pemimoin yang bersih dan jujur, yang tidak menekan rakyat.

“Dipilih oleh rakyat dengan bebas dan adil,” kata Hadi yang kini di peringkat menulis buku mengenai konsep negara berkebajikan, berjudul “Apa Ertinya Negara Berkebajikan”.

Hadi memilih “Membangun Negara Berkebajikan” tema ucapan dasarnya pada muktamar kali ini. Ia lanjutan daripada tema manifesto PAS ketika pilihan raya umum 2008.

Bagaimanapun pemimpin Umno-BN mengkritik pendekatan itu sambil mendakwa PAS sudah mengabaikan agenda negara Islam.

Pemimpin-pemimpin Umno-BN juga mendakwa PAs meniru pendekatan negara berkebajikan yang diamalkan pentadbiran Barisan Nasional sejak lima dekad lalu.

Dalam temu bual kali ini, Hadi berkata, tema yang dibawa pihaknya mendapat respons yang positif daripada pemerhati politik Islam dan bukan Islam.

“Dan, menunjukkan kegelabahan Umno dalam respons mereka apabila pemimpin Umno membuat kenyataan yang bercanggah antara satu sama lain.

“Ada menyatakan PAS sudah menyeleweng daripada landasan dan matlamat perjuangan Islamnya. Ada yang menyatakan PAS meniru Umno,” kata Hadi sambil menambah, “(ia) kenyatan yang bercanggah antara satu sama lain.”

Hadi berkata, beliau memperkenalkan konsep negara berkebajikan yang diserlahkan melalui Buku Jingga yang dibentuk bersama Pakatan Rakyat, “yang saya akhiri dengan menyeru kepada rakyat khususnya orang Melayu Islam yang diterima menjadi teras kepada kepimpinan negara oleh semua parti politik Pakatan Rakyat.”

“Supaya menyedarkan diri mereka sudah tiba masanya PAS mengganti Umno bagi orang Melayu. PAS akan membawa wajah baru bagi orang Melayu memperkasakan mereka dengan Islam,” katanya lagi.

Katanya, sudah tiba masanya rakyat Melayu Islam menjadikan PAS pengganti kepada Umno untuk menyelamatkan negara dalam masa yang sama rakyat bukan Islam tidak perlu takut dan bimbang kepada PAS.

“Melalui contoh yang kita tunjukkan ini, yang kita perintah dan penyertaan kita dalam Pakatan Rakyat.

“Sudah tiba juga masanya rakyat bukan Islam membuat perubahan bersama Pakatan Rakyat dengan menyedari bahawa perubahan tidak boleh berlaku melainkan secara bersama,” katanya lagi.

Tiada ulasan: