HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 Jun 2011

Misi Gaza: Khalid Samad tarik diri, dakwa dicemari politik BN




KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad membuat keputusan muktamad menarik diri daripada menyertai Flotilla Kemanusiaan Antarabangsa II ke Gaza, selama seminggu yang bermula minggu depan, di sebalik dakwaan bahawa Umno cuba memonopoli misi murni itu.

Khalid (gambar) berkata, misi ke Gaza ini telah dicemari oleh politik BN dan penganjurnya.

“Saya dah buat keputusan untuk tarik diri. Misi Gaza telah dicemari politiking oleh (Datuk Seri) Najib (Razak) dan penganjurnya. Saya dimaklumkan NGO yang tinggal pun hanya NGO yang pro-BN iaitu Aman Malaysia dan Ihsan (Pekida). Muslimcare, Yayasan Amal semua dah tarik diri.

“Selebihnya saya akan kemas kini blog selepas kembali dari Mekah ke Jazan,” katanya kepada The Malaysian Insider petang ini.

Dalam kenyataan Ahad lalu, Khalid mengakui “berat hati” untuk menyertai misi keselamatan membantu rakyat Palestin selepas mendapati Umno cuba memonopoli program itu dengan menggugurkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) pro-Pakatan Rakyat ke Palestin.

Justeru beliau yang akan mewakili ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat berkata, perkara tersebut akan dibincangkan terlebih dahulu bersama kepimpinan perikatan itu untuk memutuskan sama ada menarik diri ataupun sebaliknya.

Mengulas lanjut, Khalid juga berkata beliau langsung tidak tahu-menahu mengenai 10 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi ini akan berlepas ke Athens, Ahad ini.

“Saya tidak menerima sebarang maklumat daripada penganjur berkenaan perkara terbaru ini. Kali terakhir saya menelefon penganjur pada 20 Jun lepas tetapi tiada kata putus berkenaan sukarelawan yang akan terlibat.

“Ini yang buat saya lebih yakin ada agenda lain... bukan untuk menolong rakyat Palestin di Gaza tetapi bermotifkan politik semata-mata,” ujarnya lagi.

“Kali terakhir saya menghubungi penganjur pada 20 Jun (Isnin), tiada pengesahan pada masa itu,” katanya lagi dalam kenyataan SMS hari ini.

Khalid akan kembali ke tanah air pada Selasa depan.

Berdasarkan laporan semalam, 10 sukarelawan pasukan LL4G kedua mewakili Malaysia akan berlepas Ahad ini.

Menurut laporan itu sukarelawan itu terdiri daripada Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, rombongan yang diketuai Presiden LL4G Dr Noorazman Mohd Samsudin, disertai Pengerusi Aman Malaysia Datuk Ahmad Zaki Zahid, Khalid sendiri dan Bendahari Muslim Care Malaysia Zulkefli Wahijan.

Mengikut laporan media sebelum ini, misi tersebut yang dijangka memulakan pelayaran ke Gaza pada 27 atau 28 Jun bertemakan “Pertahankan Kemanusiaan” dan akan disertai 13 kapal antarabangsa — 10 kapal penumpang dan tiga kapal kargo.

Misi itu untuk menghantar bantuan kemanusiaan, turut akan memberi tekanan kepada Israel supaya menamatkan sekatan ekonomi terhadap penduduk Palestin khususnya di Gaza.

Flotilla itu bukan hanya disertai sukarelawan negara Islam, malah dari Amerika Syarikat, Eropah dan negara Barat, termasuk mereka yang bukan beragama Islam.

Dalam tulisan di blognya kelmarin, Khalid berkata Umno sekali lagi membuktikan bahawa ia parti yang sentiasa berusaha untuk menipu rakyat dan menghalang kebenaran daripada terserlah.

“Saya masih ingin menyertai walaupun misi ini ketika ini dikelilingi dengan pemainan politik, penipuan serta ketidakikhlasan. Insya-Allah saya akan ke Mekah pada petang ini (22 Jun, Rabu lalu) dan di hadapan Kaabah saya akan beristikharah mengenai penglibatan saya dalam misi ini.

“Misinya penting seperti yang saya sebutkan di atas, namun tidak perlu saya terlibat sekiranya ia bermatlamatkan kepentingan politik Umno dan untuk dijadikan hujah untuk menipu rakyat. Kononnya mereka membela rakyat Palestin sedangkan sumbangan mereka kepada APCO sebanyak RM147 juta dalam tempoh dua tahun amat disyukuri Israel,” katanya lagi.

Kata beliau kagi, “misi yang semulia ini tidak sepatutnya dicemari melalui putar belit politik dan penipuan dan pembohongan seperti yang telah berlaku.”

“Belum apa-apa lagi, ia sudah jelas, misi LL4G (kedua) tidak akan seperti yang pertama. Sebenarnya, flotilla pertama dahulu tidak diambil tahu pun oleh pihak kerajaan BN sehinggalah apa yang telah berlaku.

“Sekembalinya mereka, maka mereka disambut oleh Najib dan segala kepura-puraan bermula selepas itu. Cuma bezanya pada kali ini, ia bermula dari awal lagi,” kata Khalid yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.

Tiada ulasan: