HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 Jun 2011

Peguam Felda didakwa sengaja lengahkan kes

Khairil Abdul Rahim


TEMERLOH, 23 Jun: Perbicaraan kes saman Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman terhadap empat pihak yang didakwa berkonspirasi menangkapnya di Felda Lembah Klau serta mengurung beliau di lokap Balai Polis Raub pada 9 Mac tahun lalu, ditunda kepada 22 Julai depan.

Menurut peguamnya, Wan Rohimi Wan Daud, hakim Mahkamah Tinggi Temerloh, Datuk Akhtar Tahir, mengarahkan demikian hari ini setelah pihak peguam Felda secara tergesa-gesa menghantar notis memohon bukti “konspirasi” seperti dalam pertuduhan oleh plaintif.

“Kami baru menerima permohonan bersifat teknikal tersebut pagi tadi. Kes ini sepatutnya dibicarakan antara 21 hingga 23 Jun dan hari ini sepatutnya hari terakhir, tetapi dengan tuntutan baru daripada peguam Felda berjaya memaksa kes ini ditunda,” katanya.

Mazlan menyaman sebanyak RM20 juta terhadap empat pihak sebagai defendan iaitu Pengurus Felda Lembah Klau, Awang Sulong, Felda, Inspektor Mohd Azran Rahmat (pegawai polis yang menangkapnya) dan Kerajaan Malaysia.

Wan Rohimi berkata, saman tersebut difailkan kerana terdapat penyalahgunaan kuasa serta konspirasi yang jelas antara pengurus Felda dengan polis bagi menangkap dan menggari Mazlan dalam penangkapan tersebut.

Tambahnya, saman tersebut merupakan saman malu bagi menebus kejahatan pihak yang mengaibkan Mazlan sehingga menggambarkan beliau sebagai seorang penjenayah, penceroboh, tidak menghormati undang-undang dan seorang yang tidak bermaruah.

Menurut fakta kes, pada 9 Mac lalu kira-kira jam 4.15 petang, Mazlan ketika sedang berdialog dengan kira-kira 20 peneroka di rumah Hamidun Yeop Isa, beliau telah dikepung oleh 30 orang polis bantuan Felda yang lengkap bersenjata dan diugut secara biadab oleh pengurus Felda tersebut (Awang Sulong).

Mazlan kemudian telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub. Namun terdapat satu lagi laporan oleh Awang Sulong (kini telah bersara), yang menyebabkan Mazlan kemudiannya ditahan, direman dan terpaksa merengkok selama dua hari di lokap IPD tersebut.

Mazlan disiasat dibawah Seksyen 441 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 6 bulan atau denda tidak melebihi RM3,000.00.

Beliau bagaimanapun tidak pernah didakwa di mahkamah.

Sementara itu, Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, ketika ditemui di luar mahkamah berkata, beliau berpendapat ada usaha untuk menggelapkan isu-isu yang berlaku di tanah rancangan Felda supaya tidak terdedah kepada umum.

“Kes ini sangat penting kerana ia memberi implikasi sama ada boleh atau tidak peneroka mengadakan perhimpunan di tanah rancangan Felda kerana selama ini mereka berselindung di sebalik Akta GSA 1960 bagi menghalang sebarang aktiviti peneroka.

“Sedangkan Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan secara jelas memberi hak kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan kepada semua warga negara. Jadi apakah Felda mempunyai wilayah autonomi sehingga boleh menghalang hak mutlak rakyat? Kalau begitu apakah hanya Umno sahaja yang boleh bergerak di Felda?” soalnya.

Menurut Mazlan, beliau percaya pihak Felda sedaya upaya akan berusaha menghalang isu kebebasan bersuara di tanah rancangan itu disiarkan dalam media terutama menjelang pilihan raya ini.

“Sebab itulah kes yang sangat penting keputusannya ini akan cuba dilengah-lengahkan,” ujarnya.

Tiada ulasan: