KENINGAU: Pertubuhan Pekebun-Pekebun Kecil Bersatu Sabah (Usaha) yang sebelum ini dikenali sebagai (PPKGS) meminta Kerajaan Negeri agar mengambil berat tentang harga bahan mentah getah yang tetapkan oleh Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) yang tidak berpatutan.
Presiden USAHA M.N Chua berkata, Jawatankuasa Tertinggi pertubuhan berkenaan dalam mesyuaratnya baru-baru ini memutuskan agar permintaan itu dikemukakan kepada Kerajaan Negeri bagi mengatasi kerugian pekebun-pekebun akibat perbezaan harga bahan mentah getah di negeri ini berbanding di Semenanjung dan Sarawak.
Katanya, berikutan perbezaan harga bahan mentah getah itu pekebun-pekebun kecil di negeri ini mengalami kerugian atau kekurangan pendapatan kira-kira RM100 juta setahun.
“Isu atau perbezaan harga bahan mentah getah yang tidak adil ini telah pun berlaku sejak tahun 2003 dan sehingga kini belum ada apa-apa perubahan dan ini amat mengecewakan,” katanya dalam satu kenyataan yang diemail kepada akhbar ini pada Rabu.
Beliau berkata, LIGS sebagai sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sabah yang berorientasikan perkhidmatan sepatutnya bertanggungjawab memberi pekhidmatan dan harga getah yang terbaik untuk pekebun-pekebun kecil getah.
Tetapi katanya, terdapat pula laporan-laporan tentang kerugian yang dialami oleh agensi tersebut yang mencerminkan kelemahan pengurusannya dan sekali gus menyebabkan kerugian kepada pekebun-pekebun kecil di negeri ini.
Jelasnya, pada masa ini perbezaan harga bahan mentah getah di antara RM 1.50 hinga RM 2.00 sekilogram jika dibandingkan dengan Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Dalam situasi ini katanya, jika seorang pekebun kecil mengeluarkan 300 kilogram bahan mentah getah dalam satu bulan akan menghadapi kekurangan pendapatan hampir RM 500-600 sebulan.
“Tambahan lagi pihak LIGS menghadapi kekurangan wang dan tidak mampu membeli semua bahan mentah getah dari pekebun-pekebun kecil di negeri ini.” katanya.
Ini katanya, memaksa pekebun-pekebun kecil menjual bahan getah mereka kepada orang tengah dengan harga yang lebih rendah walaupun mereka sedar akan rugi.
Dalam pada itu kata Chua, Jawatankuasa Tertinggi Usaha membuat ketetapan dan mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Sabah supaya mansuhkan cukai eksport 10% untuk bahan mentah getah dan membuka pasaran getah di Sabah supaya perdagangan komoditi getah ini lebih berdaya saing.
“Kita juga meminta Kerajaan memberikan kelulusan kepada pekebun-pekebun kecil untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti pemprosesan hiliran getah, termasuklah menjalinkan kerjasama pintar dengan pelabur-pelabur swasta sebagai rakan kongsi,” katanya.
Dalam masa yang sama Usaha mengharapkan lebih ramai pekebun-pekebun kecil akan menyertai pertubuhan ini sebagai satu landasan untuk menyuarakan kepentingan pekebun-pekebun kecil.
Usaha yang ditubuhkan pada tahun 2006 kini mempunyai 5,000 orang ahli di seluruh Sabah.
Katanya, dalam usaha membantu membangunkan industri pertanian di Sabah, ahli-ahli Usaha juga telah menubuhkan sekurang-kurangnya lima koperasi, termasuklah di Keningau, Matunggong, Penampang, Tuaran, Tambunan dan Kota Belud.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan