The Malaysian Insider difahamkan pengurusan kedua-dua entiti itu kini memasuki satu persekitaran yang sangat parah dengan dikatakan tidak dapat bersemuka dalam menyelesaikan isu mereka, sekali gus meletakkan DBP dalam keadaan serba salah.
DBP merupakan agensi yang terletak di bawah pengawasan Kementerian Pelajaran.
Ekoran ‘perang dingin’ itu, satu sumber memberitahu The Malaysian Insider, pengurusan DBP pula berhadapan dengan dilema, kemungkinan tidak dapat menyediakan bekalan buku teks sesi persekolahan 2012-2013 menjelang Ogos ini.
“Lazimnya buku-buku kerana diedarkan antara empat hingga lima bulan sebelum sesi baru sekolah bermula, bermakna Ogos ini,” kata sumber.
“Hubungan tidak mesra DBP dan pengurusan Dawama meruncing minggu lalu apabila editor-editor Dewan Bahasa tidak dibenarkan memasuki pejabat Dawama, untuk menjalankan urusan suntingan dan pemeriksaan akhir sebelum bahan-bahan dicetak, dan sebagainya. Ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.
Sumber itu juga berkata, hubungan tidak mesra itu wujud selepas DBP memutuskan untuk melantik pihak ketiga bagi mencetak buku-buku teks agar ia dapat dibekalkan kepada sekolah menjelang Ogos.
“Kemungkinan ia telah menyebabkan Dawama tersinggung dan kecil hati, lalu tidak membenarkan editor-editor Dewan Bahasa memasuki pejabat Dawama. Malah, difahamkan peralatan komputer yang mempunyai manuskrip juga disimpan oleh pengurusan syarikat itu,” kata sumber itu lagi.
Pejabat editorial Dawama terletak bersebelahan dengan Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa di sini. Kompleks percetakan dan pengedaran Dawama terletak di Hulu Klang.
Hari ini merupakan ‘deadline’ bagi pengurusan DBP menyerahkan manuskrip akhir sebahagian buku teks sebelum ia dicetak untuk diedarkan kepada sekolah.
“Kalau ikut jadual percetakan, buku-buku teks perlu dicetak sebelum akhir bulan depan dan diedarkan pada bulan berikutnya,” kata sumber itu lagi kepada The Malaysian Insider.
Pengerusi Gerakan Darurat Bahasa Mohd Azmi Abdul Hamid ketika dihubungi The Malaysian Insider juga tidak menafikan perkembangan terbaru ini.
“Kami pun ada dengar perkembangan ini. DBP nampaknya berada dalam keadaan dilema, kepincangan ini bermula disebabkan perjanjian percetakan dan pengedaran yang berat sebelah,” kata Mohd Azmi sambil menambah, perkembangan semasa itu menunjukkan keadaan semakin rumit.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan DBP dan memastikan penerbitan dan pengedaran buku teks sekolah tidak terjejas.
“Kerajaan dan DBP perlu bertanggungjawab dalam perkara ini,” kata beliau lagi.
The Malaysian Insider juga difahamkan pengurusan Dawama akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pelajaran berhubung isu semasa ini Rabu ini.
Malah difahamkan ‘perang dingin’ DBP dan Dawama meruncing sehingga ke tahap menutup ‘pintu’ kepada pengurusan agensi itu ekoran selepas kata dua Ketua Pengarah DBP Datuk Termuzi Abdul Aziz baru-baru ini — yang memberi satu tempoh kepada Dawama agar melakukan penambahbaikan dalam mengatasi masalah kemerosotan penjualan dan cetakan buku dan majalah terbitan sejak beberapa tahun lepas.
Termuzi bagaimanapun tidak menyatakan tempoh yang diberikan kepada Dawama untuk memperbaiki prestasinya.
Dawama diberi tanggungjawab mencetak dan memasarkan bahan bacaan terbitan DBP menerusi kontrak yang ditandatangani pada 1 September 2002 dan sejak itu berlaku kemerosotan yang agak ketara daripada segi cetakan dan jualan.
Tempoh kontrak dengan syarikat konsesi itu adalah selama 12 tahun dan akan tamat pada 2014.
Ketika dihubungi The Malaysian Insider semalam, Termuzi berkata, “tidak elok saya beri apa-apa komen pada masa sekarang. Saya mahu berbincang dengan lembaga (pengelola) saya.”
“Saya tidak mahu komen,” kata beliau ringkas ketika ditanya mengenai perkembangan akhir minggu lalu.
Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi ketika dihubungi pula berkata, “elok tanya Ketua Pengarah DBP.”
Awal Mei lalu, Gerakan Darurat Bahasa menggesa Putrajaya dengan segera bertindak mengatasi masalah yang membelenggu DBP termasuk dakwaan bahawa ia mengalami kerugian berterusan dan sudah tidak lagi berintegriti.
Gerakan itu mengemukakan memorandum menyentuh isu penswastaan lima bahagian penting dalam DBP, pelantikan jawatan ketua pengarah, rasional penstrukturan semula Jabatan Sastera dan Bahagian Agama Falsafah dan Tamadun Islam dan pelantikan ahli Lembaga Pengelola yang perlu memenuhi kriteria kepakaran dalam bidang bahasa dan kesusasteraan.
Gerakan itu menyerahkan memorandum kepada Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno, 27 April lalu.
DBP atau nama asalnya Balai Pustaka merupakan sebuah jabatan kerajaan yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 untuk menggerak dan memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.
Gerakan Darurat Bahasa yang merupakan gabungan 60 badan bukan kerajaan menggesa kerajaan agar mengkaji semula kedudukan DBP sesuai dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Laporan media sebelum ini menyebut, sejak 2002 DBP telah kerugian antara RM20 juta hingga RM40 juta setiap tahun.
Sebelum penswastaan ini, DBP memperoleh keuntungan sekitar RM20 juta setahun, kata Mohd Azmi sebelum ini.
Termuzi sebelum ini berkata, sebelum penswastaan, secara purata DBP menerbitkan sebanyak 300 judul buku baru setahun dan purata terbitan buku cetak ulang adalah sebanyak 290 judul setahun berbanding selepas penswastaan apabila hanya 250 judul diterbitkan setahun manakala bagi buku cetak ulang sebanyak 95 judul sahaja yang diterbitkan.
Katanya, sebelum penswastaan itu juga hasil jualan bahan terbitan DBP pernah mencapai sehingga RM35 juta, malahan majalah Dewan Masyarakat misalnya, pernah mencecah jualan sehingga 150,000 naskhah.
Termuzi berkata, DBP mempunyai kuasa untuk menamatkan kontrak yang telah ditandatangani bersama Dawama berdasarkan terma-terma dalam perjanjian konsesi.
Namun demikian katanya, perkara itu tertakluk kepada bukti kukuh ketidakakuran Dawama dalam melaksanakan fungsi yang telah ditetapkan, misalnya dalam membayar fi tahunan minimum, kegagalan menerbitkan jumlah minimum buku judul am dan kegagalan mematuhi jadual penerbitan.
2 ulasan:
Katanya, sebelum penswastaan itu juga hasil jualan bahan terbitan DBP pernah mencapai sehingga RM35 juta, malahan majalah Dewan Masyarakat misalnya, pernah mencecah jualan sehingga 150,000 naskhah.
Figures tahun berapa? 15, 20 tahun lepas? Itu semua "past glory". Zaman tiada banyak publisher lain, zaman internet tidak meluas, zaman tiada competition, zaman buku2 dbp yang diterbit masih relevan dengan keperluan pasaran. Skrg macam mana? DBP bukan buat buku utk pasaran? Matlamat DBP untuk perjuangkan Bahasa dan sastera. Jadi mengapa melatah apabila jualan buku DBP merudum? Jualan tertakluk kepada kehendak pasaran. Staf DBP sendiri bertanya, siapa nak baca buku-buku terbitan mereka ni.
Kalau Dawama langgar kontrak, ingat DBP nak bagi muka? DBP memang x suka Dawama...byk politik dalam DBP ni, perlu elaborate ke?
kalau politik dalaman, kenapa pula org dalam abdul dawam buat begini:
http://www.scribd.com/doc/56253391/MEMO-TPM
Catat Ulasan