HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Jun 2011

SHAHRIZAT, JANGAN BERI HARAPAN PALSU!


AZRINA BAKRI NGO Sabah

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mungkin telah memberikan hadiah sangat berharga sempena Hari Bapa di Sabah. Ia mungkin kejutan kepada ramai orang. Namun bagi mereka yang pernah menerima replika cek kementerian itu, pasti hanya akan tersengih dengan pengumuman tersebut.

Saya ingin mengulas berita kementerian itu berkenan seramai 32,516 penduduk miskin di Sabah yang dikenal pasti berpendapatan kurang RM960 sebulan, akan menikmati pakej saringan kesihatan percuma melalui peruntukan yang disalurkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyampaikan replika cek berjumlah RM76,000 kepada kerajaan negeri untuk tujuan itu pada satu upacara sempena sambutan Hari Bapa peringkat Kebangsaan di Stadium Likas. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, Datuk Masidi menerima replika itu bagi pihak negeri Sabah.

Kementerian Sharizat sememangnya mempunyai peruntukan yang besar dan turut memberi galakan kepada pertubuhan bukan kerajaan dalam menggerakkan aktiviti yang berkaitan dengan kementerian tersebut.

Malangnya, kementerian tersebut hanyalah memberi harapan palsu kepada pertubuhan bukan kerajaan yang dijanjikan peruntukan geran. Setelah enam bulan berlalu kedengaran keluhan NGO yang mewakili persatuan yang sepatutnya menjalankan program di bawah kementerian itu. Replika cek mahupun surat award dana itu hanyalah sekeping kertas tidak berharga.

Walaupun tertera kepala surat kementerian dan tandatangan Sharizat sendiri berkaitan dengan penyaluran geran itu melalui satu majlis penyerahan yang mendapat publisiti meluas di media. Tetapi ia hanyalah sekadar gurauan kementerian itu kepada Ngo yang terlibat. Sehingga kini wang geran itu tidak pernah dimasukkan ke dalam akaun persatuan.

Pihak Kementerian terutamanya Sharizat sendiri sedia maklum bahawa geran peruntukan yang diberikan kepada NGO adalah bertujuan baik dan berlandaskan kepada kertas kerja yang mendapat kelulusan dari pihak kementerian itu sendiri.

Enam bulan telah berlalu, namun bayang geran itu menjengah masuk ke dalam akaun pertubuhan yang memerlukannya untuk menggerakkan aktiviti yang mungkin telah disedia maklum di peringkat akar umbi, terpaksa menunggu lama untuk dijalankan. atau langsung tidak akan disalurkan.

Kemuskilannya, adakah kakitangan Sharizat tidak telus dan mesra kepada pelanggan? Atau sebenarnya kementerian ini tidak mempunyai sumber kewangan? Kenapa geran itu sukar sekali dilepaskan? Bukankah telah diluluskan?

Selama enam bulan ini nampaknya, pihak kementerian itu memberikan pelbagai alasan termasuklah pegawai yang menandatangi cek bertugas di Sarawak kerana pilihanraya negeri, selain alasan pegawai yang berkenan bercuti dan pelbagai alasan yang diberikan ketika pengadu meminta penjelasan kenapa wang geran yang diluluskan mengambil masa untuk dimasukkan ke dalam akuan pertubuhan.

Jadi tidak hairanlah sekiranya kementerian ini memberikan publisiti besar-besaran dengan jumlah peruntukan beribu-ribu, tetapi hanyalah sekadar kiasan dan tidak bermakna langsung.

Memang jumlah itu besar nilainya tetapi adakah ia menjadi kenyataan kerana hanyalah replika cek palsu yang langsung tidak berguna. Jika kementerian itu memberikan harapan kepada penduduk miskin di Sabah dengan jumlah peruntukan perubatan itu, bagaimana dengan geran yang diluluskan kepada pertubuhan bukan kerajaan yang sehingga kini tidak pernah sama sekali disalurkan oleh kementerian tersebut?

Jangan beri harapan palsu kepada rakyat!

Tiada ulasan: