KOTA BHARU: Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar) mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membina paradigma baru negara dengan mencontohi negara-negara maju iaitu mengumumkan tarikh pilihan raya setahun lebih awal.
Ini kerana, dengan permainan teka-teki sekarang menunjukkan Najib takut dan cuba untuk mengekalkan status quo sahaja.
“Sepatutnya dalam politik baru, rakyat khususnya orang-orang muda mahu supaya Najib membawa suatu era yang lebih cemerlang dengan tidak menjadikan, sebagai contoh, tarikh pembubaran Parlimen itu hanya (dianggap) milik Perdana Menteri semata-mata.
“Apa salahnya sekiranya Najib menerokai satu era baru dia mengumumkan satu tarikh pilihan raya yang setahun lebih awal sebagaimana yang diamalkan oleh negara-negara maju, yang benar-benar mengamalkan demokrasi secara telus, bukannya ‘berteka-teki’ dan bukannya terus mewarisi satu gaya kepimpinan yang saya anggap ‘ketinggalan zaman’,” dakwanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas kuliah mingguan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Medan Ilmu di sini pagi ini.
Salahudin mendakwa adalah menjadi tradisi pimpinan Umno-BN tidak mahu bersaing secara sihat dengan mengadakan satu pilihan raya membolehkan semua parti di negara ini memiliki ‘padang permainan yang sama rata’.
Beliau mengulas tarikh pilihan raya dan pembubaran Parlimen oleh kepimpinan Najib Razak yang kini ‘diletakkan dalam keadaan berteka-teki’.
Bagaimana pun, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menegaskan bahawa Pakatan Rakyat kini siap sedia bila-bila masa bagi menghadapi kemungkinan berlakunhya pilihan raya umum pada hujung tahun ini.
“Memang itulah tradisi pemimpin UMNO-BN, mereka tidak mahu bersaing secara sihat. Mereka tidak mahu diadakan satu pilihan raya yang semua parti memiliki ‘padang permainan yang sama rata’.
“Jadi itu saya tidak peliklah, kerana itu merupakan sikap yang tidak berubah pemimpin-pemimpin tertinggi Umno-BN,” dakwanya.
Mengulas lanjut pilihan raya umum dan pembubaran Parlimen oleh kepimpinan Najib, beliau mendakwa Najib mewarisi pola pemikiran UMNO-BN yang static, yang tidak berdaya maju dan tidak berdaya saing.
“Ini kerana apa yang Najib buat (lakukan) itu adalah merupakan kelangsungan mengekalkan status quo.
Sertai Bersih 2.0 sepenuhnya
Mengulas himpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai nanti, Salahuddin menegaskan bahawa PAS akan menyertai himpunan aman Bersih 2.0 itu, selaras dengan keputusan mesyuarat politik Rabu lalu, yang dijangka turut dihadiri Mursyidul Am PAS dan Datuk Seri Presiden PAS.
“Jadi kita tidak berdolak-dalih lagi, kita tidak akan undur ke belakang lagi.
“Maknanya, kita, PAS akan ‘all out’ menyertai Himpunan aman BERSIH 2.0 itu pada 9 Julai ini,” tegasnya.
Beliau turut mengulas tuntutan Bersih pertama tidak dilayan khususnya dalam perkara teras seperti semakan semula ‘pembersihan daftar pengundi’, semakan semula undi pos, yang seterusnya penggunaan dakwat (celup jari) dan penggunaan media yang adil.
“Mereka tidak pernah melayan kita, (namun) kini tiba-tiba mereka mahukan pintu rundingan untuk (bertujuan) menggagalkan himpunan BERSIH 2.0 (?).
“Kita tidak akan layan. Kita akan teruskan himpunan itu walau apa pun, pada 9 Julai nanti,” katanya.
Beliau mendakwa, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebenarnya bukan berada dalam satu Suruhanjaya Diraja tetapi masih lagi di bawah cengkaman.
“Itu hakikatnya, dan SPR sebenarnya bukan duduk dalam satu Suruhanjaya Diraja, tetapi masih lagi terbelenggu dengan politik, politik cengkaman UMNO-BN, dan saya yakin itu,” dakwanya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan