HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Jun 2011

Flotilla Gaza: MP Khalid Samad rancang misi sendiri bantu Palestin


KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, yang kelmarin mengesahkan menarik diri daripada menyertai Flotilla Kemanusiaan Antarabangsa II ke Gaza, masih meletakkan hasrat mahu membantu rakyat Palestin tetapi dengan mengadakan misi sendiri.

Wakil rakyat itu berkata beliau bersama rakan-rakannya merancang untuk mengadakan misi kecil-kecilan tanpa sebarang agenda terselindung.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan bila dan siapa yang akan terlibat dalam misi anjurannya itu.

“Sekembali saya ke Malaysia minggu depan (ini), saya akan berbincang dengan sahabat-sahabat NGO yang lain dan sekiranya berpeluang, kami akan ke Gaza melalui Raffa untuk menyampaikan bantuan.

“Mungkin tidaklah ‘high-profile’ sepertimana Flotilla LL4G, tetapi insya-Allah bertunjangkan dengan niat yang ikhlas, tanpa sebarang agenda yang terselindung kecuali mengharap keredhaan ilahi,” kata beliau dalam tulisan terbaru blognya.

Pemimpin PAS ini menulis demikian sehari selepas mengesahkan kepada The Malaysian Insider bahawa beliau telah memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai Flotilla Kemanusiaan Antarabangsa II ke Gaza, selama seminggu yang bermula minggu ini atas dakwaan Umno cuba memonopoli misi murni itu.

“Saya dah buat keputusan untuk tarik diri. Misi Gaza telah dicemari politiking oleh (Datuk Seri) Najib (Razak) dan penganjurnya.

“Saya dimaklumkan NGO yang tinggal pun hanya NGO yang pro-BN iaitu Aman Malaysia dan Ihsan (Pekida). Muslimcare, Yayasan Amal semua dah tarik diri,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Dalam kenyataan Ahad lalu, Khalid yang sepatutnya mewakili Pakatan Rakyat mengakui “berat hati” untuk menyertai misi keselamatan membantu rakyat Palestin selepas mendapati Umno cuba memonopoli program itu dengan menggugurkan beberapa badan bukan kerajaan pro-Pakatan Rakyat ke Palestin.

Sepuluh 10 sukarelawan pasukan LL4G kedua mewakili Malaysia akan berlepas ke Athens hari ini sebelum meneruskan perjalanan ke Gaza.

Dalam reaksinya semalam, Ketua Misi LL4G, Dr Noorazman Mohd Samsudin berkata pihaknya akan meneruskan misi mereka hari ini sebagaimana telah dijadualkan walaupun tanpa penyertaan Khalid dan meskipun berhadapan dengan amaran Amerika Syarikat.

Sambil mempertahankan bahawa misi kali ini tidak dipengaruhi atau dimonopoli oleh Umno-BN, Dr Noorazman berkata, pihaknya hendak menaiki kapal misi kemanusiaan atas solidariti rakyat Malaysia tetapi “nampaknya ia tidak tercapai kali ini.”

Tempat Khalid akan digantikan oleh orang lain tetapi bukan wakil rakyat, kata Dr Noorazman sambil menambah, “jika hendak digantikan dengan mana-mana Ahli Parlimen sangat sukar pada saat-saat akhir.”

Dr Noorazman menambah, pihaknya tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai keputusan wakil rakyat itu mahu menarik diri daripada menyertai misi kali ini.

“Dia (Khalid) tidak beritahu (kami) secara rasmi, cuma dengar dari jauh,” katanya.

Menurut Dr Noorazman, kali terakhir Khalid, wakil Pakatan Rakyat, menghubunginya adalah pada Isnin lalu untuk bertanya tentang butiran perjalanan.

“Kami berharap Pakatan Rakyat juga ada wakil untuk menunjukkan solidariti dalam misi ini, tetapi beliau menarik diri... itu hak dia (jika mahu menarik diri),” tambah beliau.

Dr Noorazman berkata pihaknya sangat berharap Khalid akan menyertai misi kemanusiaan kali ini tetapi tiada respons sehinggalah “kami membaca laporan The Malaysian Insider.”

“Tiada respons (daripada Khalid), sepatutnya tidak ada kepincangan dalam perpaduan rakyat dalam hal ini, sebab parti-parti politik, kita ada wakil dia, oleh kerana tiada respons, kami anggap beliau tarik diri,” katanya.

Khalid akan kembali ke tanah air Selasa ini.

Dalam tulisannya, Khalid juga berkata pihak LL4G tidak pernah menghubungi beliau dengan maklumat lanjut mengenai misi kemanusiaan kali ini.

“Setelah selesai solat istikharah dua rakaat (di Arab Saudi), saya bergegas balik ke hotel dan tidur kerana keletihan disebabkan perjalanan yang agak jauh dari Jazan.

“Esoknya, pada pukul 3 lebih pagi, saya dikejutkan panggilan telefon. Apabila bangun, secara tiba-tiba saya teringat bagaimana sepenjang tempoh ini, pihak LL4G tidak pernah pun menelefon atau menghantar e-mel kepada saya berhubung misi ini,” katanya lagi.

Kata Khalid, walaupun semua maklumat peribadi telah dimaklumkan kepada penganjur beliau tidak pernah mendapat panggilan daripada mereka.

“Sehingga saya juga yang menelefon untuk bertanya, pada awal Jun, sama ada nama saya disenaraikan atau tidak sebagai salah seorang sukarelawan,” katanya lagi.

Khalid seterusnya menulis, “perasaan saya terhadap misi ini menjadi semakin jelas.”

“Ia sebuah misi yang mempunyai agenda terselindung dan walaupun misi itu sendiri adalah baik, agenda terselindung ini mampu merosakkan segala-galanya.

“Sekiranya sebelum apa-apa lagi ia sudah diselaputi penipuan dan pembohongan, demi agenda politik yang terselindung, apa jaminan ia tidak akan diputar belit dengan lebih dahsyat lagi selepas ini? Maka tiada sebab saya perlu terlibat dalam misi yang sebegini rupa,” kata beliau lagi.

Tiada ulasan: