HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Jun 2011

Pendakwaan trio Umno satu konspirasi?

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan sama ada prosiding kes melibatkan trio Umno Datuk T di Mahkamah Majistret yang sudah tertangguh hampir tiga bulan, tetapi dapat diselesaikan semalam sebahagian daripada konspirasi bersama Peguam Negara dan pihak polis.

“Apa yang berlaku di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur (semalam) dalam kes (trio Umno) Datuk T trio dan seks video Sri Carcosa merupakan salah guna proses mahkamah, menyebabkan proses kehakiman negara menjadi bahan ketawa.

“Misalnya, terdapat satu testimoni seorang pakar bahawa orang lelaki dalam video seks itu 99.99 peratus adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” selar Kit Siang, sambil menyoal kredibiliti testimoni pakar tersebut apabila ia tidak dicabar oleh sebarang kenyataan oleh para pakar yang lain.

“Ini menyebabkan testimoni tersebut menjadi akuan satu belah yang tidak lebih daripada khabar cakap,” tambah beliau.

Semalam, trio Umno atau Datuk T mengaku bersalah mengedarkan video lucah dan masing-masing didenda antara RM3,000 hingga RM1,000 setiap seorang.
Ketiga-tiga mereka, bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik didenda RM1,000; Datuk Shazryl Eskay Abdullah RM3,000 manakala bekas bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim RM1,500.

Namun, bagi Kit Siang, apa yang melucukan pada prosiding di Mahkamah Majistret pagi semalam ialah cara Datuk T menjustifikasikan jenayah mereka kononnya demi kepentingan negara.

“Apa yang boleh lebih penting untuk negara selain memperjuangkan pembasmian rasuah, terutamanya budaya rasuah semasa pemimpin negara apabila Indeks Rasuah Ketelusan Antarabangsa (Transparency International) menunjukkan kejatuhan teruk dari tangga 23 di 1995 ke 56 dalam masa 11 tahun,” bidas Kit Siang.

Bahkan, kata beliau, trio Umno itu dilayan seperti VVIP, dan dibenarkan untuk meninggalkan mahkamah tanpa membayar duit denda yang dikenakan.

Kit Siang, yang juga merupakan Ahli Parlimen Ipoh Timur, turut menyoal Peguam Negara sama ada beliau bersetuju bahawa ia adalah relevan untuk mengurangkan hukuman terhadap sesiapa saja, sama ada mencuri dokumen atau melanggar Akta Rahsia Rasmi, sekitanya jenayah itu dilakukan dengan tujuan murni seperti mendedahkan rasuah besar melibatkan menteri-menteri dan pemimpin-pemimpin dalam kerajaan.

“Soalan yang saya hendak ajukan ialah sama ada Peguam Negara dan polis adalah sebahagian daripada konspirasi dalam salah guna kuasa proses mahkamah trio Datuk T yang menyebabkan kelewatan tiga bulan dalam mendakwa mereka supaya kononnya ‘testimoni pakar’ dapat disiapkan dan dilaporkan ke mahkamah untuk menuduh bahawa orang di dalam seks video Carcosa ialah Anwar,” soal Kit Siang.

Jika ya, beliau berkata kedua-dua Peguam Negara dan Ketua Polis Negara harus menjelaskan mengapa mereka kompromi dalam kebebasan, profesionalisme dan integriti pejabat mereka dengan melibatkan diri dalam permainan politik trio Umno Datuk T dan ketua-ketua mereka dalam Umno.

Tiada ulasan: