HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Jun 2011

Hisham pertahan polis, dakwa 30 aktivis Bersih ada agenda

TERKINI



HULU SELANGOR — Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein petang ini mempertahankan polis menahan 30 aktivis Bersih 2.0 di Pulau Pinang di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan sambil berkata ada alasan untuk menjustifikasikan tindakan mereka.

Polis Pulau Pinang pagi tadi mengumumkan bahawa perintah reman akan dibuat mengikut Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana mereka berniat untuk memerangi Yang di-Pertuan Agong.

Hishammuddin (gambar) berkata beliau belum lagi diberi butiran mengenai tahanan mereka tetapi laporan awal menunjukkan aktivis berkenaan ada agenda lain tersembunyi.

“Saya belum menerima satu laporan lengkap. Tetapi laporan awal menunjukkan pergerakan yang dikatakan sebagai demonstrasi aman, ada agenda lain,” katanya di sini hari ini.

“Saya percaya, sebenarnya saya menunggu satu laporan yang penuh. Tetapi arahan saya kepada polis dari awal lagi ialah ikut undang-undang, ambil tindakan untuk mempertahankan keamanan dan keselamatan,” kata beliau selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Hulu Selangor di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan lanjut sebab-sebab mereka ditahan dan ia adalah keputusan polis.

“Bukan saya yang menahan mereka. Polis memutuskan,” kata beliau sambil menambah, orang ramai seharusnya melihat insiden itu dari perspektif yang luas.

Terdahulu Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata siasatan polis mendapati sekumpulan aktivis PSM yang ditahan di Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang petang semalam cuba menghidupkan semula fahaman komunis.

Beliau berkata, ini berdasarkan pelbagai barangan yang dirampas polis daripada aktivis berkenaan mempunyai kaitan dengan fahaman Parti Komunis Malaya (PKM).

“Antaranya risalah dan kemeja-T yang tertulis nama Chin Peng, Rashid Maidin dan Suriani Abdullah, semua mereka ini mempunyai kaitan dengan PKM,” katanya di George Town.

Kumpulan berkenaan yang menaiki sebuah bas persiaran dipercayai dalam rangka kempen mengedarkan risalah berkaitan Himpunan Bersih 2.0 9 Julai ini.

Kempen PSM bertemakan “Udahlah tu...Bersaralah” itu dikatakan tertumpu ke bandar kecil di Semenanjung Malaysia sejak 24 Jun lalu.

Semalam 14 wanita dan 17 lelaki yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini untuk dirakam percakapan.

Abdul Rahim berkata, seorang daripada aktivis berkenaan dibebaskan kerana masih di bawah umur manakala 30 yang lain kini direman bagi membantu siasatan.

Katanya, perintah reman bagi semua mereka yang berusia 18 hingga 64 tahun itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Butterworth hari ini.

Beliau berkata perintah reman dibuat mengikut Seksyen 122, Kanun Keseksaan kerana berniat untuk memerangi Yang di-Pertuan Agong.

Tiada ulasan: