HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Jun 2011

Pembeli rumah terbengkalai serah memo minta kerajaan bertindak

Afiq Hizami, Pelatih UKM


KUALA LUMPUR: Seramai 300 orang pembeli rumah terbengkalai dengan berpakaian jingga berhimpun secara amam di lobi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada jam 2.30 petang tadi di Pusat Bandar Damansara.

Perhimpunan itu bagi menyerahkan dua memorandum rayuan terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan iaitu Datuk Wira Chor Chee Heung untuk menggesa pihak kementerian membantu menyelesaikan masalah mereka.

Menurut Mohd Akram Mohd Akhbar yang mengetuai penyerahan dua memorandum tersebut, satu memorandum mewakili komuniti projek rumah terbengkalai daripada pemaju syarikat Talam Corporation di seluruh Selangor dan Kuala Lumpur manakala satu lagi mewakili Badan Bertindak Casa Gemilang daripada pemaju Capital Lane Sdn. Bhd.

Bagaimana pun pihak pembeli sedikit kecewa apabila dikatakan Menteri dan Timbalan Menteri KPKT tidak datang dan memorandum itu diserahkan kepada seorang pengarah KPKT.

"Ada di antara kami yang menunggu selama lapan tahun untuk rumah mereka siap dan wang pula dibayar pada setiap bulan.

"Tapi sampai sekarang projek tersebut masih terbengkalai, kami tanya apa alasan pihak pemaju mereka kata masalah kewangan.

"Kami telah banyak bersabar dan memutuskan untuk berbincang membuat satu perhimpunan yang amam bagi menyerahkan memorandum ini untuk merayu kepada kerajaan supaya menyelesaikan masalah ini," kata Mohd Akram yang juga pembeli rumah terbengkalai.

Selain daripada itu, menurut Jaafar Ismail Pengerusi Badan Bertindak Casa Gemilang (BBCG) mahu pihak kerajaan mengambil tindakan terhadap pihak-pihak pemaju yang tidak bertanggungjawab ini.

"Ada antara kami tertindas dalam hal ini, pemaju cuba menipu kami dengan menyediakan perjanjian yang langsung tidak memihak kepada kami dan dilihat menguntungkan syarikat pemaju.

"Justeru itu, kami berharap pihak kerajaan mengambil berat mengenai masalah kami dan menyelesaikan dengan secepat mungkin kerana kami telah mengambil masa yang terlalu lama untuk menduduki rumah idaman kami.

"Dan kami juga difahamkan beribu-ribu keluarga pembeli di Selangor dan Kuala Lumpur mengalami kesengsaraan dan beban ekonomi yang teruk disebabkan kegagalan syarikat-syarikat yang berkaitan dengan Tan Sri ini dalam menyiapkan rumah mereka yang kini tertunggak lebih daripada enam tahun," jelas beliau lagi.

Difahamkan syarikat Talam Corporation dikatakan milik seorang 'Tan Sri' yang menjadi Pengarah Bukan Eksekutif syarikat tersebut mempunyai tujuh anak syarikat pemaju yang bertanggungjawab terhadap lapan projek rumah terbengkalai di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Malah, menurut pembeli ada antara anak syarikat Talam Corporatian ini yang sudah tidak beroperasi lagi malah tidak mempunyai lesen yang sah.

Tiada ulasan: