Hazayani Zakaria |
KUALA LUMPUR: Seniman Paksi Rakyat (Paksi) kesal dan sedih dengan tindakan pihak polis memanggil Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said untuk disoal siasat hanya kerana sebuah puisi yang dibacakan di majlis pelancaran Bersih 2.0 pada 19 Jun lalu. Pengerusinya, Dinsman berkata, tidak wajar A. Samad disoal siasat kerana beliau hanya menyuarakan pandangannya mengenai situasi yang berlaku di negara ini melalu karyanya. Namun Paksi katanya tetap berbangga kerana puisi A. Samad, "Unggun Bersih" yang merupakan suatu karya seni yang indah tiba-tiba mendapat perhatian umum. Sambil mengajak rakyat menghayati "Unggun Bersih", Dinsman berkata, amat pelik apabila pihak berkuasa mencurigai karya yang diiktiraf di peringkat antarabangsa itu. "Betapa murninya niat dan geraktindak seorang seniman yang luas pengalaman ini, untuk berbakti kepada negara, bangsa dan agamanya. "Kita tidak faham mengapa pihak polis perlu menimbulkan rasa curiga terhadap manusia baik yang sebaik A Samad Said ini, penyair yang menekuni kehidupan mulia Rasulullah (s.a.w.) dan menghasilkan sebuah puisi panjang-tebal mengenai insan agung itu – Al-Amin. "Sebagai sasterawan, seniman, budayawan dan intelektual yang bertanggungjawab, dia sentiasa bersama rakyat bagi merakamkan gerak nadi dan jerit batin rakyat dan menyatakan sikap dan pandangan warasnya apabila difikirkannya perlu, dengan niat untuk menyumbang ke arah kesejahteraan, di samping untuk sama-sama menegakkan yang hak dan adil dalam masyarakat," kata beliau dalam satu kenyataan. Sehubungan itu, Paksi mengingatkan pihak berkuasa agar tidak menggunakan kuasa secara sewenang-wenangnya dalam apa jua keadaan bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan rakyat. Sasterawan negara juga tegasnya wajar diberikan hak dan kebebasan untuk terus menyumbangkan karya kepada masyarakat. "Apabila insan luhur seperti A Samad Said bersuara dan memberi teguran ikhlasnya, marilah sama-sama kita mendengarnya. Usahlah kita menjadi takut kepada bayang-bayang sendiri," katanya. Berkumpul sokong Pak Samad Sementara itu, Dinsman mengajak orang ramai bersama Paksi, Budayawan Bertindak dan seniman-seniman prihatin berkumpul di pentas aktiviti di pesta buku Selangor petang ini bagi menunjukkan sokongan kepada A. Samad. Satu sidang media akan diadakan jam 5.30 petang. Kelmarin, A. Samad dipanggil ke balai bolis Dang Wangi untuk memberikan keterangan berhubung puisi tersebut dan kehadirannya ke majlis pelancaran di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH) yang didakwa memberi sokongan kepada Bersih 2.0. A. Samad selepas disoal siasat turut melahirkan rasa sedih kerana disoal siasat di bawah akta hasutan sedangkan puisinya itu mengandungi niat murni. |
HALAMAN SANTAI
Rabu, 29 Jun 2011
Paksi kesal puisi Pak Samad dicurigai
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan