HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Oktober 2011

90,000 warga asing diberi i-Pass secara percuma

KSU KDN Tan Sri Mahmood Adam berkata sehingga minggu lepas sebanyak 3,700 i-Pass sudah diberikan sebagai alat pengenalan menggantikan pasport.



PUTRAJAYA: Seramai 90,000 tenaga profesional asing akan diberikan i-Pass, satu pas pengenalan baru bagi memudahkan pergerakan mereka di negara ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Tan Sri Mahmood Adam berkata sehingga minggu lepas sebanyak 3,700 i-Pass sudah diberikan sebagai alat pengenalan menggantikan pasport.

“Pemegang i-Pass kini tidak perlu membawa pasport sebagai bukti pengenalan dalam Malaysia. Mereka juga dikecualikan daripada mengisi kad perjalanan apabila memasuki Malaysia dan pasport mereka tidak akan dicap secara manual dikaunter imigresen apabila keluar-masuk negara,” katanya.

Beliau berkata sedemikian selepas majlis penyerahan i-Pass yang baru oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan kepada 11 pemegang Pas Residen di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

I-Pass, alternatif kepada i-Kad yang diperkenalkan KDN dan Jabatan Imigresen pada tahun 2007 kepada semua pekerja asing, tenaga profesional termasuk suami isteri serta pelajar asing, namun dimansuhkan pada tahun 2010.

Kini ia telah pun dikeluarkan sejak September 2011 kepada pekerja asing yang memegang Pas Pekerjaan.

“Pemegang i-Pass akan dikod secara berlainan warna mengikut kategori bagi memudahkan mereka dikesan. Ini bagi menggalakkan lebih ramai lagi tenaga profesional asing bekerja dan tinggal di Malaysia, disamping menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

I-Pass dikendalikan oleh Jabatan Imigresen manakal Pas Residen menawarkan pas selama 10 tahun yang boleh diperbaharui kepada tenaga profesional berkelayakan tinggi yang bekerja di Malaysia.

Pas Residen yang dikendalikan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) turut memberikan kemudahan yang sama kepada isteri atau suami bagi membolehkan mereka turut bekerja di Malaysia.

Tiada ulasan: