Pergolakan tentang pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris yang tidak selesai ini memberikan risiko terhadap masa depan dasar pendidikan di Malaysia. Pada tahun 2009, ketika menjawat jawatan Menteri Pendidikan, Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan bahawa pengajaran kedua-dua mata pelajaran itu akan ditukar kembali ke Bahasa Malaysia. Seperti biasa, penyokong-penyokong tegar dan pak turut BN mengalu-alukan langkah tersebut, walaupun mereka inilah juga yang mengagung-agungkan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad apabila beliau mula melaksanakan pengajaran subjek-subjek itu dalam Bahasa Inggeris.
Dari mulut seekor keldai
Sebagai contoh, pada tahun 2009, Ketua Biro Maklumat dan Komunikasi MCA Lee Wei Kiat berkata keputusan kerajaan adalah sejajar dengan hasil pencarian UNESCO yang menyebut para pelajar dapat mempelajari kedua-dua subjek itu dengan lebih baik melalui bahasa ibunda mereka. Walaupun, Lee gagal untuk menyebut di mana hasil pencarian UNESCO itu diterbitkan, dia mengolah lagi, "Pada enam tahun kebelakangan ini, ramai pelajar yang terkesan akibat pengajaran subjek-subjek ini dalam Bahasa Inggeris dan mereka tidak dapat mengikuti pembelajaran.
"Pengumuman ini akan memastikan pelajar-pelajar kita boleh bersaing dalam kedua-dua subjek," katanya. Lee berkata perubahan dasar oleh kerajaan pada tahun 2003 itu adalah "suatu pengajaran". Pelbagai laporan menyatakan bahawa kerajaan tidak bersedia untuk melaksanakan dasar tersebut. Oleh sebab itu, kita sudah mengalami banyak kerugian. Oleh itu, kami berharap kerajaan akan meneliti kertas-kertas cadangan untuk dasar-dasar baru supaya kesilapan itu tidak berulang."
Kenyataan Lee itu membuat kita bertanya, ketika Mahathir mengumumkan pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris, kenapa Parlimen hanya berdiam diri? Tidakkah sepatutnya sidang Kabinet dan kementerian-kementerian berkenaan mengadakan kajian kebolehlaksanaan penggunaan Bahasa Inggeris dalam subjek-subjek tersebut? Jelas kelihatan yang Lee sedang bercakap sebagai seorang ahli politik, dan bukan seorang warganegara yang prihatin.
Seterusnya S. Samy Vellu pula, Presiden MIC ketika itu bukan sahaja menyokong keputusan Muhyiddin, malah berkata Majlis Guru-Guru Besar Sekolah Tamil telah meminta subjek-subjek itu diajar dalam Bahasa Tamil.
"Kita berharap prestasi pelajar-pelajar akan bertambah baik dengan keputusan ini. Kita mahu lebih banyak perkara dilakukan untuk meningkatkan penggunaan Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah," katanya.
Kenyataan Samy Vellu ini lebih mengelirukan lagi. Beliau menyokong pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia dengan harapan prestasi pelajar akan bertambah baik, dan pada masa yang sama dia mahukan banyak perkara dilakukan untuk memperkasakan penggunaan Bahasa Inggeris. Yang mana satu? Dan bagaimana pula dengan Matematik dan Sains dalam Bahasa Tamil. Apakah piawaian sebenar MIC? Satu lagi kenyataan daripada seorang ahli politik - mana perginya warganegara Malaysia yang prihatin?
Hisham yang menyerlah
Tetapi kenyataan Hishammuddin Husseinlah yang paling mencuit hati. Bekas Menteri Pendidikan itu sangat yakin yang kebanyakan rakyat akan memahami langkah kerajaan untuk kembali ke Bahasa Malaysia sekiranya mereka lihat sebab-sebab langkah tersebut diambil.
Hishammuddin, yang sedang menjawat Menteri Dalam Negeri itu masih membuat keputusan yang lucu, berkata adalah mustahil untuk kerajaan menganggap semua rakyat akan menerima keputusan itu dengan baik. "Ia bukanlah reaksi spontan akibat tekanan politik," katanya pada sidang media. Dia berkata kementerian telah memulakan kajian pengajaran kedua-dua subjek itu dalam Bahasa Inggeris sewaktu dia masih menjawat jawatan Menteri Pendidikan. "Kita sudah melihat isu ini selama berbulan-bulan malahan bertahun."
Pendek katanya, apa yang dimaksudkan oleh Hishammuddin adalah seluruh generasi kanak-kanak di Malaysia hanyalah bahan uji kaji dalam eksperimen kerajaan dalam penggunaan bahasa. Tetapi apabila majoriti Melayu dalam UMNO mendapati agak sukar untuk mereka mempelajari bahasa baru, projek itu pun dengan senangnya ditinggalkan.
Bukankah ini sebab sebenar Bahasa Inggeris berada dalam kecelaruan bila dikaitkan dengan pengajarannya dalam Matematik dan Sains di Malaysia. Sehinggalah majoriti Melayu terutamanya dalam UMNO menerimanya, ianya tidak akan digunakan. Keputusan Muhyiddin sudah sampai ke jalan buntu, tanpa penyelesaian yang jelas daripada pihaknya ataupun pihak Kabinet untuk menampilkan satu penyelesaian.
Perubahan pendidikan bermula dengan Menteri yang sedang berkuasa
Tetapi dari segi politik, ini mungkin langkah bijak daripada Muhyiddin. Dengan mengenepikan Bahasa Inggeris, dia boleh memainkan peranan patriot Melayu dengan mantapnya, biarpun keputusannya itu membawa kebaikan kepada masyarakat ataupun tidak. Langkah untuk menghentikan pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris bukanlah diambil dari sudut pendidikan, tetapi dari sudut politik. Motifnya adalah untuk meraih undi Melayu, biarpun ramai yang tidak menyetujuinya.
Tidak diragukan ada juga golongan Melayu yang tidak setuju dengan penggunaan Bahasa Inggeris dengan alasan supaya bahasa ibundanya tidak diketepikan. Tidak dapat disangkal juga di sesetengah masyarakat, seperti di Perancis, Jepun, Korea atau Taiwan, dapat menyerapkan Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda mereka. Kenapa itu dapat berlaku dan apa yang mereka lakukan dengan betul berbanding apa yang berlaku di Malaysia memerlukan kajian dan pembelajaran yang lama dan mendalam.
Walaubagaimanapun, ini tidak seharusnya digunakan untuk menentang penggunaan Bahasa Inggeris. Ianya juga tidak patut digunakan sebagai alasan kerajaan untuk menjadikan rakyat sebagai bahan uji kaji.
Sehingga kini, tiada seorang pun ahli Parlimen BN memberi justifikasi memilih Bahasa Malaysia dalam pengajaran Matematik dan Sains. Tiada seorang pun daripada mereka yang memberikan bukti kukuh bahawa Bahasa Inggeris akan membuatkan pelajar di Malaysia menjadi bertambah teruk. Dan alasannya sangat jelas. Bahasa Inggeris itu bukanlah masalahnya, ia hanyalah bahasa penghantar. Masalahnya adalah daripada mekanisma yang sedang digunakan untuk mengajar bahasa tersebut dan penyelesaian untuk menggunakan bahasa itu datang daripada guru-guru sendiri.
Jika Bahasa Inggeris tidak digunakan dalam pengajaran Sains dan Matematik di Malaysia, mengapa ahli-ahli parlimen kita menghantar anak-anak mereka untuk belajar di luar negara di mana Bahasa Inggeris digunakan? Adakah mereka tidak percaya pada sistem pendidikan kita? Adakah kerana mereka tahu masalah dalam sistem pendidikan di Malaysia dan mereka tidak mahu anak-anak mereka diletakkan dalam sistem tersebut?
Kenyataannya ialah seluruh sistem pendidikan di Malaysia ini memerlukan perubahan dan ianya perlulah dimulakan dengan Menteri Pendidikan sendiri. Sepatutnya, Menteri Pendidikan menjadi seorang pendidik sebenar dan dia seharusnya tahu cara yang terbaik untuk menangani isu ini. Sebaliknya, kita mempunyai seorang ahli politik sebagai Menteri Pendidikan yang hanya melihat kedudukannya sebagai satu lagi langkah untuk mendapatkan kerusi Perdana Menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan