HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Oktober 2011

PAS bangga pemimpin berfikiran jauh, istiqamah

Mohd Sabri Said


KEPALA BATAS: "PAS berbangga memiliki kepimpinan yang melampaui masa iaitu berfikiran jauh ke hadapan, matang dan beristiqamah bersama rakyat merasai keperitan," kata Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub.

Menurutnya, contoh paling ketara ialah bekas Yang Dipertua PAS, Prof Zulkifli Mohamad yang memiliki pemikiran jauh yang tidak terfikir oleh orang lain, umpamanya idea penubuhan Bank Islam, Univesiti Islam, pajak gadai Islam dan sebagainya.

Katanya, apa yang disuarakan oleh almarhum kini Umno dan Barisan Nasional (BN) yang melaksanakan, seolah-olah semua itu adalah hasil gabungan pemikiran mutlak kepimpinan parti bangsa yang sewenang-wenangnya menolak Islam.

Tambahnya, begitu juga dengan Yang Dipertua PAS selepas itu sehinggalah kini semuanya mempunyai pemikiran yang unik, dapat menerima dan menyelesaikan permasalahan yang timbul.

Katanya lagi, Presiden PAS sekarang Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak terlepas daripada acuan berkenaan dengan bertindak mengarahkan semua ahli parlimen pembangkang agar tidak berfikiran dalam ruang lingkup pembangkang malahan melebihi dari itu.

"Kita mahu memerintah. Bercakap, bertindak mesti ke arah itu," katanya yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian ketika berucap pada forum sempena Sambutan 60 Tahun PAS di Dewan Milenium, Kepala Batas malam tadi.

Tambahnya, isu ketuanan Melayu yang ditonjolkan oleh Umno untuk menjerat orang Melayu supaya membenci PAS tidak berhasil kesan daripada penerangan yang berterusan.

Katanya, lagi banyak Umno bercakap mengenai ketuanan Melayu semakin banyak rasuah berlaku, ekonomi negara makin parah, Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak sampai ke tahap yang diharapkan serta banyak lagi skandal besar melibatkan kepimpinan negara.

Itu semua sambungnya, berpunca daripada pemikiran kepimpinan Umno dan BN yang sempit, tidak jauh dan hanya mementingkan periuk nasi sendiri sahaja.

"Jika biarkan Umno dan BN memerintah, rosaklah negara ini. Tiada jalan lain melainkan kuburkan mereka sahaja selepas pilihan raya umum ke 13 kelak," tegasnya yang .

Turut menjadi ahli panel dalam program berkenaan ialah Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Tiada ulasan: