Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan, insiden keganasan tidak seharusnya berlaku, sama ada ia bersifat politik atau sebaliknya.
"DAP mengutuk keras insiden keganasan yang menimpa pemimpin PR. Sejak beberapa minggu lalu, kita menyaksikan insiden keganasan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah Anwar, malah diri saya sendiri menjadi mangsa dikasari samseng.
"Insiden keganasan politik itu turut berleluasa di seluruh negara termasuk di Melaka, Pahang, Johor, Kuala Lumpur, Selangor, dan Perak," tegas Lim (gambar) dalam satu kenyataan hari ini.
Kejadian terbaru insiden keganasan politik telah berlaku ke atas pasangan adik beradik V Ganabatirao dan abangnya V Raidu.
Kedua-dua pemimpin Indian Right Action Force (Indarf 2.0) itu telah dipukul pada 30 Mei lalu dan mengalami kecederaan serius yang mana Raidu mengalami retak tangan dan kecederaan di tulang leher, manakala Ganabathan cedera parah di hidung.
"Kedua-dua mereka yang merupakan ahli DAP dipercayai telah dipukul oleh sekumpulan samseng yang dipercayai penyokong Barisan Nasional (BN).
"Mereka diserang sekumpulan tiga lelaki yang marah kerana berjaya menganjurkan perhimpunan Indraf 2.0 di Brickfield minggu lalu, malah memberi amaran supaya tidak menganjurkan sebarang perhimpunan kecuali perhimpunan anjuran BN," tegas Ahli Parlimen Bagan ini lagi.
Ekoran kejadian itu, Raidu masih lagi dirawat di Hospital Klang.
Tambah Ketua Menteri Pulau Pinang ini lagi, pihaknya turut menyuarakan kekesalan terhadap kejadian yang menimpa Raidu dan Ganabathirau kerana pihak polis masih lagi tidak mengambil sebarang tindakan walaupun identiti penyerang mereka telah dikenal pasti sejak 36 jam lalu.
"Kegagalan polis untuk bertindak dan menangkap penjenayah hanya akan membuktikan negara kita ini diperintah oleh samseng yang bukan sahaja tidak menghormati undang-undang, bahkan juga demokrasi," tambah Lim.
Insiden keganasan politik turut mencemari pentas ceramah PKR baru-baru ini Pantai Dalam apabila mereka dikatakan dibaling telur, botol air dan batu oleh penyokong Umno yang menghadiri ceramah yang hanya berjarak 100 meter dari pentas ceramah PKR.
Dalam insiden itu, dua mangsa mengalami kecederaan, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dan seorang warga emas berusia 60 tahun cedera di kepala akibat dilastik batu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan