HALAMAN SANTAI

Selasa, 19 Jun 2012

Dr Mashitah: Tiada diskriminasi kenakan hukuman terhadap LGBT

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak mengamalkan diskriminasi alam mengenakan sebarang hukuman serta tindakan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Beliau berkata kerajaan memberi perhatian serius terhadap isu LGBT serta mengawal gejala berkenaan daripada terus menular di kalangan masyarakat negara ini dengan meletakkan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Katanya perkara ini boleh dirujuk dalam Perkara 8, Fasal 1, Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

Katanya Fasal 2 pula menyatakan kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini, tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan atau penjalanan apa-apa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.

Beliau tidak bersetuju dengan cadangan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) yang dalam soalan tambahan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini mencadangkan agar kerajaan mencari satu jalan penyelesaian lain selain menggunakan standard agama.

Dr Mashitah berkata kerajaan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) telah mengambil dua pendekatan iaitu pencegahan serta penguatkuasaan undang-undang bagi menghalang penularan gejala LGBT.

Katanya daripada aspek pencegahan, Jakim dan JAIN mengadakan Program Jelajah BEST! yang memfokuskan kesedaran komuniti remaja terhadap gejala sosial terutama penularan HIV/Aids jika mengamalkan homoseksual.

"Siri pemulihan dan rawatan melalui kursus akan diberikan kepada masyarakat Islam yang terbabas daripada prinsip serta norma masyarakat bertamadun malah Jakim dan JAIN telah menjalankan program Mukhayyam bersama Mak Nyah yang insaf bagi mendapat maklum balas positif daripada mereka," katanya.

Daripada aspek penguatkuasaan, beliau berkata undang-undang memperuntukkan secara jelas dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) yang hanya boleh dikuatkuasakan terhadap orang Islam sahaja.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan asal Datuk Mohd Jidin (BN-Setiu) yang ingin tahu sejauh mana tahap keseriusan kerajaan dalam menangani gejala LGBT di negara ini.

Dr Mashitah berkata kerajaan bersama pihak berkuasa agama negeri akan mengambil tindakan undang-undang terhadap orang Islam yang terlibat dalam gejala LGBT dan melanggar mana-mana peruntukan undang-undang di setiap negeri.

Tiada peruntukan undang-undang dan agama di negara ini yang membenarkan hubungan sejenis, seks bebas serta perkahwinan sejenis, katanya. - Bernama

Tiada ulasan: