HALAMAN SANTAI

Jumaat, 22 Jun 2012

KPF agih dividen ahli bernilai RM340 juta

 
 
KUALA LUMPUR — Walaupun berdepan dengan pelbagai kontroversi, termasuk tentangan terhadap lantikan Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad sebagai anggota Lembaga Pengarah Koperasi Permodalan Felda (KPF) oleh NGO pembangkang, pertubuhan itu hari ini mengumumkan pembayaran dividen sebanyak RM340.1 juta kepada ahlinya.

Pertubuhan yang mempunyai ahli terbesar daripada kalangan peneroka Felda itu juga turut mengumumkan mereka beroleh keuntungan sehingga lebih RM356 juta pada tahun 2011, peningkatan sebanyak 39.11 peratus berbanding RM238 juta pada 2010.

“Perwakilan juga bersetuju untuk meluluskan pembayaran dividen sebanyak RM340.1 juta atau 18 peratus bagi tahun kewangan 2011 kepada anggota-anggota KPF,” jelas Ketua Eksekutif KPF, Mazlan A. Talib.

Dalam satu kenyataan media hari ini, KPF turut menyatakan keanggotannya telah bertambah sebanyak 11,777 anggota kepada 231,902 sebelum ini pada 2010.

“Ia mencatatkan peningkatan sebanyak 5.35 peratus manakala modal syer anggota bertambah sebanyak RM307.0 juta, melonjak kepada RM1.95 bilion berbanding RM1.64 bilion pada 2010, dengan mencatatkan pertambahan sebanyak 18.73 peratus,” kata Mazlan dalam kenyataan tersebut selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-31 KPF semalam.

Pendapatan KPF pula melonjak kepada RM691.09 juta, iaitu peningkatan 20.19 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu RM575.02 juta.

“Ini merupakan pencapaian tertinggi sejak ditubuhkan 31 tahun lalu,” kata Mazlan dalam kenyataan itu.
Turut dijelaskan adalah pertambahan bilangan anggota daripada kumpulan peneroka yang bertambah sebanyak 4.89 peratus kepada 202,870, berbanding 193,421 pada 2010.

“Kumpulan peneroka merupakan kekal pencarum terbesar sebanyak 87.48 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota KPF dengan miliki modal syer sebanyak RM1.39 bilion atau 71.55 peratus daripada jumlah keseluruhan modal syer anggota.”

 “Sementara anggota daripada kakitangan pula seramai 29,032 yang merupakan 12.52 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota KPF. Kumpulan ini memegang syer sebanyak RM553.59 juta ataupun 28.45 peratus daripada keseluruhan modal syer anggota.”

Berdasarkan kenyataan tersebut, pelaburan KPF telah mencatat pertumbuhan 28.23 peratus kepada RM2.9 bilion berbanding RM2.26 bilion pada tahun 2011.

“Pelaburan syarikat luar dari kumpulan Felda yang berjumlah RM867.04 juta mengalami pertumbuhan terbesar iaitu sebanyak 128.76 peratus dan diikuti perlaburan hartanah sebanyak 95.71 peratus
manakala aktiviti pembiayaan pula terus mengalami pengembangan sebanyak 71.82 peratus melalui produk-produk baru yang diperkenalkan,” jelas kenyataan tersebut.

“Peningkatan pelaburan syarikat luar telah didorong oleh pengambilan 20.02 peratus ekuiti dalam MSM Malaysia Holdings Berhad dengan jumlah pelaburan sebanyak RM516.79 juta.

“KPF juga telah menambah pelaburan hartanahnya melalui pembelian lapan blok bangunan komersil 30 Jewels Commercial Centre di Icon City, Petaling Jaya yang berharga RM72.0 juta.

“Bangunan ini dijadual akan siap pada tahun 2014 akan menempatkan sebuah hotel, service apartment dan garden restaurant dengan kos pembinaan sebanyak RM147.0 juta sedang dalam pembinaan di Bandar Baru Bangi dijangka siap pada Julai 2013,” kata Mazlan.

Pemilikan ekuiti dalam 11 buah Syarikat Kumpulan Felda melalui pegangan sebanyak 255.89 juta unit saham dengan kos pelaburan sebanyak RM353.6 juta, kekal sebagai teras utama pelaburan KPF.

Mazlan turut menerangkan, Syarikat Kumpulan Felda juga telah menyumbang sebanyak 67.12 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan KPF, iaitu sebanyak RM398.16 juta pada 2011.

“Pada tahun ini zakat perniagaan yang akan dibayar ialah sebanyak RM5.0 juta.”

Mesyuarat yang diadakan di Dewan Perdana, Anjung Felda, di Kuala Lumpur itu telah dipengerusikan oleh Pengerusi KPF, Datuk Dzulkifli Abd Wahab dengan penyertaan 1,331 perwakilan dari seluruh negara.

Isa yang turut dicalonkan beserta dua nama lain untuk menganggotai Lembaga KPF dalam mesyuarat semalam bagaimanapun tidak hadir, dan oleh kerana keahliannya telah dibekukan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, namanya telah ditolak untuk dicalonkan.

Isu penyenaraian Felda Global Venture Berhad (FGVH) telah menimbulkan reaksi tidak senang dalam kalangan Pakatan Rakyat (PR) dan melalui badan bukan kerajaan, Pertubuhan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), pembangkang cuba memberikan kesedaran terhadap peneroka Felda bahawa melalui penyenaraian tersebut, kerajaan cuba mengambil kesempatan terhadap kekayaan yang dimiliki oleh syarikat perladangan terbesar negara itu.

Anak yang diketuai Mazlan Aliman telah berulang kali menggesa kerajaan menarik balik cadangan penyenaraian yang dikemukakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sewaktu pembentangan Bajet 2012 atas alasan ianya bakal memperjudikan nasib peneroka kerana mereka berisiko kehilangan tanah dan harta mereka apabila syarikat itu disenaraikan kelak.

Tiada ulasan: