Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman
Difahamkan, Pas hanya memerlukan tambahan lima peratus undi pengundi Melayu atas pagar, untuk berpotensi merampas lapan kerusi Barisan Nasional (BN) di bahagian utara Selangor.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata, fokus itu telah dilakukan sejak tahun lalu, menerusi program Semarak Hijau di beberapa kawasan strategik termasuk di Parlimen Tanjong Karang.
Menurutnya, calon-calon yang akan bertanding di kawasan tersebut dipilih secara teliti termasuk prestasi semasa pemimpin di kawasan akar umbi, bagi memastikan hanya calon boleh menang sahaja menjadi wakil Pas pada
PRU-13. "Kita sememangnya telah memfokuskan jentera Pas di kawasan utara Selangor, sejak awal lagi kerana melihat peratusan menang di kawasan ini adalah cerah.
"Bahkan, apabila ada cadangan untuk melaksanakan program Semarak Hijau di Shah Alam, kita bantah dan mahu ianya diadakan di kawasan utara yang majoriti pengundinya orang Melayu," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, pemilihan calon Pas di Negeri Selangor tertakluk kepada keputusan Pas Pusat yang akan hanya memilih calon boleh menang.
Beliau menegaskan wakil rakyat sedia ada, tidak semestinya akan dipilih secara automatik, manakala calon yang kalah pada PRU12, Mac 2008 lalu pula masih berpeluang dipilih menjadi calon.
"Bagi pemimpin Pas Selangor seperti Pemuda, Muslimat atau Setiausaha Negeri, tiada jaminan bagi mereka dipilih menjadi calon secara automatik.
"Mereka perlulah melakukan prestasi terbaik di kawasan masing-masing dan jika prestasi tidak baik, pastinya tidak akan dipilih," katanya.
Menurutnya, pembahagian kerusi di antara ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat (PR) adalah sama seperti pilihan raya, 2008 iaitu 20 kerusi Pas, 21 (PKR) dan 15 (DAP).
"Berkemungkinan akan berlaku pertukaran kerusi di antara ketiga-tiga parti, namun ia bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan," katanya.
Kelmarin, Pas Pusat mengumumkan senarai calon Pas di Negeri Selangor kini telah siap sepenuhnya dan kini jentera parti itu berada dalam keadaaan bersiap sedia menghadapi PRU13, yang dijangka berlaku dalam masa terdekat.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sehingga kini lebih 90 peratus senarai calon bagi keseluruhan di seluruh negara telah berjaya diputuskan pucuk pimpinan.
Menurutnya, senarai calon yang meliputi kawasan kawasan Parlimen dan Dun di Selangor berjaya diputuskan kerana Pas telah bersedia menghadapi PRU13, sejak tahun lalu.
Abdul Hadi turut memberi gambaran awal bahawa tiada jaminan kepada mana-mana pemimpin Pas untuk kekal menjadi calon bagi pilihan raya akan datang.
Ketika ditanya sama ada Pesuruhjaya Pas Selangor, akan kekal menjadi calon, beliau berkata, semua pihak perlu menunggu hari penamaan calon untuk mengetahui keputusan tersebut
Tiada ulasan:
Catat Ulasan