HALAMAN SANTAI

Rabu, 20 Jun 2012

MCA mahu pekerja diberi pilihan keluarkan wang KWSP pada usia 55 tahun

THE MALAYSIAN INSIDER


KUALA LUMPUR – MCA mahu pekerja sektor swasta diberi pilihan mengeluarkan simpanan mereka dalam Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) apabila mencapai usia 55 tahun sekiranya usia persaraan dilanjutkan kepada 60 tahun, kata presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Beliau berkata ini kerana ada pekerja memerlukan wang simpanan mereka untuk memenuhi keperluan mendesak seperti membiayai pendidikan anak dan penjagaan kesihatan ibu bapa, manakala ada pula yang berpendapat mereka wajar dibenar membuat pilihan mengenai masa untuk mengeluarkan simpanan masing-masing.

“KWSP perlu melihat undang-undangnya yang sedia ada, tapi sebagai parti politik, pendirian kami ialah mereka (pekerja) perlu diberi pilihan mengeluarkannya pada usia 55 tahun,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA di sini, hari ini.

Kini, anggota KWSP berhak mengeluarkan simpanan penuh mereka apabila mencapai usia 55 tahun, sama ada secara keseluruhan atau sebahagian daripadanya.

Mereka juga dibenar mengeluarkan simpanan dalam Akaun II masing-masing apabila berumur 50 tahun.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim membayangkan KWSP mungkin membenarkan anggotanya mengeluarkan simpanan mereka pada usia 55 tahun, berikutan pembentangan Rang Undang-undang Umur Persaraan Minimum 2012 di Dewan Rakyat.

Dr Chua berkata MCA menyokong umur persaraan ditetapkan pada 60 tahun, tetapi pelaksanaannya mestilah tidak menjejaskan golongan muda yang memasuki pasaran kerja.

“Undang-undang Malaysia perlu disemak semula agar lebih fleksibel. Selepas berumur 55 tahun, peluang patut diberi sama ada hendak menyambung atau sebaliknya,” kata beliau.

Beliau juga berkata MCA tidak mahu Kementerian Sumber Manusia mewujudkan sebarang bentuk inisiatif baru kerana pelaksanaan gaji minimum dan umur persaraan minimum baru perlu ditangani terlebih dahulu.

“Kami menentang inisiatif seperti skim pencen sepanjang hayat untuk pekerja sektor swasta dan skim insurans pengangguran. Kami berpendapat ini tidak perlu dilaksnakaan sekarang kerana pelaksanaan gaji minimum dan umur persaraan minimum perlu dipantau dulu,” katanya. – Bernama

Tiada ulasan: