Oleh: Aedi Asri
KUALA LUMPUR : KEADILAN menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghentikan serangan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya berdebat secara langsung berkenaan dasar dan isu nasional.
Naib Presiden KEADILAN, N Surendran berkata, Anwar sekali lagi menjadi sasaran serangan media kawalan Umno-BN dengan mengemukakan pertuduhan tidak berasas berhubung pemilikan akaun RM3 bilion.
“Media kawalan Umno ini pasti tidak dapat membuat serangan ini tanpa restu Najib sendiri,” katanya kepada keadilan daily.
Beliau merujuk laporan muka depan New Straits Times (NST) semalam berhubung dakwaan palsu tersebut dan menyatakan Anwar mengarah bekas Pengarah Siasatan Badan Pencegah Rasuah, Abdul Razak Idris membuat akuan bersumpah membersihkan namanya.
“Akuan bersumpah itu dibuat dengan sukarela oleh Abdul Razak dan adalah suatu yang mengarut dan tidak bertanggungjawab untuk NST menuduh beliau dipaksa Anwar.
“Laporan NST hari ini (semalam) sendiri mengakui Anwar tidak didakwa kerana tiada bukti untuk sabitkan beliau. Pengakuan sama juga dibuat pada laporan muka depan NST 12 Jun lalu,” katanya kepada Keadilan Daily.
Menurut Surendran, NST dan media kawalan Umno yang lain berulangkali dan tanpa rasa tanggungjawab menuduh Anwar melakukan kesalahan tersebut.
“Selepas berminggu media Umno menyerang tanpa henti, tiada satu pun bukti yang boleh dipercayai ditunjukkan untuk mengaitkan Anwar dengan dakwaan itu,” katanya.
Akuan Bersumpah Abdul Razak bertarikh 10 November 2009 menyatakan kes itu ditutup selepas siasatan menyeluruh yang dibuat termasuk di Singapura dan United Kingdom mendapati tiada sebarang kes.
Beliau memberi keterangan akuan bersumpah itu dalam kes saman fitnah Anwar terhadap News Straits Times Press (M) Bhd dan bekas Ketua Pengarang Kumpulannya, Datuk Abdullah Ahmad
13 Jun lalu, Anwar dalam sidang media di Parlimen menyatakan kesediaan untuk disiasat semula secara terbuka walaupun kes itu ditutup pada tahun 1999.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan