HALAMAN SANTAI

Selasa, 5 Jun 2012

Sabah: Umno tuai masuk poket, Pakatan tuai agihkan untuk rakyat – Azmin

Oleh Aisha Geoffrey


KUALA LUMPUR : Pakatan Rakyat tidak melihat Sabah sebagai ‘fixed deposit’ (simpanan tetap) seperti yang dilakukan Umno BN tetapi menganggap Sabah dan Sarawak adalah ‘equal partner’ (rakan kongsi yang sama) kerana

Malaysia tidak boleh ditubuhkan tanpa dua negeri itu, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali.
Berucap pada majlis perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Tanjung Aru, Kota Kinabalu pada 2 Jun lalu,

Azmin menjelaskan Sabah mempunyai potensi yang cukup besar dengan kekayaan sumber hasil negeri, di mana ia sepatutnya dituai dan diagihkan kepada seluruh masyarakat Sabah malangnya terus dimonopoli segelintir pemimpin dan kroni sahaja.

“Apa yang kita mahu ialah satu sistem yang baik, adil serta tidak zalim pada masyarakat Sabah serta rakyat Malaysia keseluruhannya dan sistem itu hanya boleh dipimpin oleh Pakatan Rakyat.

“Antara perkara pokok yang telah kami (PR) janji ialah untuk tuai petroleum dan naikkan kadar royalti dari lima peratus kepada 20 peratus apabila diberi amanah (mentadbir) di Putrajaya kelak.

“Konsep Umno, tuai dahulu dan masuk poket tapi Pakatan Rakyat akan tuai dan agihkan sepertimana di Selangor dan Pulau Pinang.

“Kita juga akan tubuhkan suruhanjaya untuk mengatasi masalah pendatang asing yang diberi kewarganegaraan dengan sewenang-wenangnya,” kata Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Menurut beliau, masalah tanah juga berlaku bila mana tanah yang sepatutnya menjadi hak rakyat diambil oleh kroni.

“Justeru Pakatan berjanji akan tuai tanah dan kembalikan semula kepada rakyat,” katanya.

Beliau juga menyeru rakyat Sabah agar membawa perubahan kepada negeri itu dengan menggunakan 100 peratus kuasa memilih di tangan mereka untuk mengubah masa depan Sabah sekaligus Malaysia.

Tiada ulasan: