RUZY ADILA IDRIS DAN RAZIATUL HANUM A. RAJAK
Orang ramai
menonton siaran lansung pembentangan Belanjawan 2013 oleh Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Menteri Kewangan.
SHAH ALAM – Bajet 2013 dibentangkan Datuk Seri Najib Tun Razak semalam
dilihat sebagai satu bajet yang lebih seimbang buat pertama kali dan
dalam masa sama, tidak membebankan rakyat - khususnya golongan belia,
kumpulan sasaran penting dalam senarai pemilih Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU13).
Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan
Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd
Azizuddin Mohd Sani berkata, fokus bajet ini bertujuan menarik
pertumbuhan ekonomi negara dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi
global.
Beliau turut mengakui memang bajet ini ada kaitan dengan PRU13 tetapi
pendekatan kerajaan banyak merakyatkan bajet ini untuk meringankan beban
kepada golongan berpendapatan rendah.
Dalam pada itu, Azizuddin turut tidak menafikan bajet itu nampak
seperti cuba menarik sokongan belia bagi meneruskan agenda kerajaan pada
jangka masa pendek.
Katanya, bajet PR juga cuba menarik sokongan orang muda dengan
menawarkan pemansuhan PTPTN dan menurunkan harga kereta tetapi bajet
kerajaan jauh lebih praktikal kerana menilai kemampuan kerajaan untuk
melaksanakannya.
“Berbanding PR yang hanya menampilkan bajet populis.
“Bajet yang dibentangkan kerajaan dan PR sememangnya berkisar bagi
menghadapi PRU13. Mereka boleh nafikan tetapi sememangnya ia berada
dalam konteks itu,” jelas beliau lagi.
Dalam pada itu, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal
Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Mohamed Mustafa
Ishak berkata, setiap lapisan masyarakat tidak terkecuali dari merasai
kelebihan pada bajet kali ini.
“Semua pihak yang bermula dari pesara, orang muda, kanak-kanak, orang
kurang upaya (OKU), peniaga, pesawah, petani sehinggalah kakitangan awam
dapat merasai insentif ini.
“Lebih-lebih lagi, golongan muda yang sebelum ini terpinggir dari
mendapat perhatian dalam bajet lalu. Kali ini insentif seperti pemberian
baucer buku, Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan diskaun Perbadanan
Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya kepada Sinar Harian
Online.
Beliau mengulas bahawa bukan hanya orang yang sudah berumah tangga
mempunyai masalah kewangan, tetapi mereka yang bujang juga menghadapi
masalah yang sama.
Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Pakatan Rakyat (PR) sebelum
ini bahawa bajet yang bakal dibentangkan Najib bersifat populis
memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang makin hampir, Mustafa
berkata, perkara itu memang tidak dapat dielakkan.
“Itu adalah normal, sesiapa pun yang menjadi kerajaan akan mengambil pendekatan yang sama.
“Bajet ini tidak mengambil langkah yang begitu populis yang boleh
merencatkan ekonomi negara berbanding bajet PR yang lebih bersifat
populis sampai tidak memikirkan kesan kepada negara,” katanya lagi.
Terdahulu, bajet kali ini, Najib turut menggariskan lima fokus utama untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di seluruh negara.
Belanjawan yang dibentangkan Najib yang juga Menteri Kewangan itu juga
bertujuan memastikan pertumbuhan ekonomi mapan, perbelanjaan berhemah
dan mengurangkan defisit fiskal negara dengan matlamat keseluruhan
mengutamakan kesejahteraan rakyat.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains
Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, bajet tersebut
mungkin kelihatan sebagai tarikan untuk PRU13, tetapi sebenarnya
kerajaan mampu dari segi peruntukkan itu, lalu menyalurkannya kepada
rakyat.
“Sebenarnya, bajet ini tidak ada kaitan pun untuk PRU yang secara
kebetulan pembentangan bajet berlaku di kala penggal parlimen bakal
dibubarkan pada bila-bila masa,” ujar beliau.
Selain itu, beliau turut mengulas perhatian terhadap belia pada bajet
kali ini adalah sangat adil melalui pemberian insentif tidak kira mereka
adalah Pro-Mahasiswa dan Pro-Aspirasi, semuanya boleh menikmati
insentif berkenaan.
“Selain itu, pemberian diskaun PTPTN dialu-alukan tetapi jika
dimansuhkan akan berlaku ketidakadilan kepada mereka yang teklah
membayar dan juga mereka yang bakal menyambung pelajaran.
“Peminjam kalau mendapat kelas pertama akan ditukar menjadi biasiswa,
secara tidak langsung akan menyebabkan mahasiswa berlumba-lumba untuk
mendapat keputusan cemerlang.
“PR tidak mungkin menghapuskan PTPTN, setakat berjanji bolehlah..
mungkin mereka hanya akan menurunkan faedah bayaran balik pinjaman,”
katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berharap PR akan menerima apa yang baik dibuat oleh kerajaan.
Katanya, jika ada perkara baik dibuat perlulah disokong dan jika sebaliknya boleh dibangkang.