Oleh Mohd Martin Kahar
KUALA LUMPUR : Pemberian diskaun 20 peratus kepada peminjam Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk melangsaikan hutang sekaligus, tidak akan menyelesaikan masalah golongan itu, kata Rafizi Ramli.
Pengarah Strategi KEADILAN itu berkata, peminjam yang rata-rata lepasan Institut Pengajian Tinggi (IPT) tidak mempunyai banyak wang hingga boleh melangsaikan keseluruhan hutang PTPTN.
“Mereka sangat terbeban dengan hutang PTPTN dan mana mungkin mereka dapat membayarnya sekaligus,” katanya ketika dihubungi.
Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2013 petang tadi mengumumkan akan memberi diskaun 20 peratus kepada penyelesaian sekaligus pinjaman PTPTN, sehingga 30 September 2013.
Diskaun 10 peratus juga akan diberi kepada mereka yang membayar pinjaman itu secara konsisten.
Rafizi berkata, Umno BN cuba menunjukkan mereka prihatin dengan masalah peminjam PTPTN setelah Pakatan Rakyat menawarkan untuk menghapuskan skim tersebut.
Pengumuman itu juga katanya, hanya bertujuan menarik perhatian golongan muda supaya kembali menyokong BN.
“Kita yakin pengundi di kalangan golongan muda lebih berminat dengan tawaran Pakatan untuk menghapuskan terus PTPTN,” katanya.
Golongan belia juga disogok dengan rebat sebanyak RM200 untuk pembelian telefon pintar 3G.
Mengulas perkara itu, Rafizi berkata, pemberian rebat tidak memberi kebaikan kepada golongan belia, malah ia akan membebankan terutama di kalangan mahasiswa.
“Kebanyakan telefon pintar berharga di atas RM1,000. Pelajar hanya diberikan RM200. Ini bermakna mereka terpaksa menambah wang untuk membelinya. Itu tidak termasuk perkhidmatan yang dibayar setiap bulan,” jelas Rafizi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan