HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 September 2012

Mengapa soalan hutang Syed Mokhtar ditolak?

Anis Nazri,
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua (gambar) memohon penjelasan daripada pihak menteri ekoran penolakan soalan lisan beliau berkaitan hutang Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary.

Soalan beliau yang dikatakan mengandungi 'sangkaan' itu ditolak Yang Dipertua Dewan Rakyat, hari ini.

"Apakah yang dikatakan sangkaan jahat dalam soalan saya yangg tidak boleh dijawab? Sedangkan boleh dikatakan semua soalan adalah sangkaan yang memerlukan jawapan daripada kementerian untuk membetulkan pemikiran tersebut atau untuk mengesahkan ia betul atau sebaliknya," tegas beliau pada sidang media, di lobi parlimen hari ini.

Beliau meminta Menteri Kewangan menyatakan apakah ancaman kepada sistem kewangan dan perbankan Malaysia, di mana syarikat-syarikat milik Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary mempunyai hutang sebanyak RM34.3 bilion.

Bagaimanapun ditolak dengan alasan 'sesuatu pertanyaan itu tidak boleh mengandungi apa-apa hujah, sangkaan, fikiran, tohmahan, puji atau keji atau mengandungi kalimah mengelirukan, menyindir, atau menyakitkan hati ataupun mengenai apa-apa perkara dangkal atau meminta penerangan mengenai perkara remeh'.

Menurut Tony lagi, soalan tersebut memerlukan pengesahan sama ada ia benar atau sebaliknya, lebih-lebih lagi ia melibatkan sejumlah hutang yang melebihi 10 peratus kesemua hutang korporat di Malaysia.

"Saya amat kesal dengan keadaan ini, yang mana sudah tiga kali saya bangkitkan perkara ini, namun tidak beroleh jawapan.  Sebelum ini dikatakan soal hutang ada perkara sulit," tegas beliau.

Sedangkan, tambah Tony, mana-mana syarikat yang mempunyai hutang melebihi 10 peratus daripada kesemua hutang korporat di Malaysia akan memberi kesan kepada syarikat-syarikat lain.

Katanya, kebanyakan syarikat-syarikat Syed Mokhtar tersenarai di Bursa Malaysia, yang mana butiran dan laporan mengenai syarikat-syarikat terbabit pula diterbitkan di bursa.

"Oleh itu, butiran yang sama terima ini bukannya remeh, dan ia juga bukannya datang dari atas angin.  Ia boleh diakses secara terbuka, dan bukannya dari sampul surat yang diterima saya dari orang yang tidak dikenali," tegas beliau.

Tiada ulasan: