HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 September 2012

Potong subsidi gula, harga barang naik, rakyat terbeban

Oleh: Aliff Fikri

KUALA LUMPUR : Penarikan subsidi gula sebanyak 20 sen sekilogram akan menambah beban rakyat dan menyebabkan harga barangan keperluan meningkat, kata Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail.

“Pemotongan dan penarikan subsidi ini sekaligus akan meningkatkan harga barang keperluan asas lain seperti minyak, tepung dan sebagainya, kerana segala komponen keperluan asas berkait rapat dengan gula.

“Apabila harga keperluan asas meningkatkan, ia bermakna kos harian juga akan meningkat sebanyak 10 peratus,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan ke mana penarikan subsidi sebanyak 20 sen itu akan disalurkan.

“Apakah ia akan disalurkan kepada perkhidmatan lain seperti perkhidmatan pendidikan dan petroleum? Atau diisi ke dalam poket mereka (Umno-BN),” soalnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat semalam, mengumumkan pengurangan subsidi gula sebanyak 20 sen sekilogram. Najib mendakwa keputusan itu mengambil kira jumlah 2.6 juta rakyat yang menghidap diabetis ketika ini.

Sementara itu, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menasihatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga berikutan pengurangan subsidi bahan makanan itu.

Naib Presiden Fomca Siti Rahayu Zakaria dilapor berkata golongan itu, terutama peniaga makanan, tidak harus berbuat demikian meskipun harga gula akan meningkat selepas ini.

Tiada ulasan: