HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 September 2012

Nazri: Tiada aduan, tiada siasatan ke atas Musa Hassan

JAMILAH HAMZAH

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menjelaskan bahawa tiada siasatan dilakukan ke atas bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang dikatakan pernah mempunyai hubungan dengan tokoh kongsi gelap Goh Cheng Poh dan BK Tan.

Bercakap di Parlimen hari ini, Nazri berkata, dakwaan yang dibuat oleh bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Ramli Yusuff terhadap Musa tidak disusuli dengan sebarang laporan polis.

Katanya, "oleh yang demikian, tiada apa-apa siasatan dijalankan oleh pihak polis berkenaan perkara ini."

"Kedudukannya sama bagi (perkara berkaitan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia iaitu tiada sebarang aduan diterima, maka tiada sebarang siasatan dijalankan terhadap pendedahan yang dilaporkan," katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ramli telah mendedahkan terdapatnya hubungan antara Musa dan kumpulan kongsi gelah BK Tan dan Cheng Poh.

Dalam pada itu, Ramli juga dikatakan akan bersedia memberi keterangan jika tribunal ditubuhkan untuk menyiasat Musa dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Sehubungan itu Nazri berkata, bagaimanapun sekiranya terdapat sebarang laporan atau aduan dibuat, pihak agensi penguatkuasaan undang-undang akan menjalankan siasatan yang sewajarnya mengikut peruntukan dan kuasa undang-undang yang diberikan.

"Dakwaan yang dibuat oleh Ramli merujuk kepada skandal Copgate yang berhubungan dengannya.

"Menteri Dalam Negeri pada bulan Mac 2012 telah pun menolak penubuhan suatu siasatan bagi menyiasat dakwaan tersebut kerana tiada bukti kukuh dapat dikemukakan," katanya lagi.

Tiada ulasan: