Muhyiddin ketika sidang media selepas sesi pembentangan bajet di Parlimen berkata, bajet 2013 itu amat
memberangsangkan dan antara bajet yang terbaik dengan mengambil kira situasi ekonomi global.
“Bajet 2013 fokus, memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat dan antara bajet terbaik yang mengambil kira situasi global.
“Ianya adalah bajet yang realistik dan dapat memenuhi keperluan yang dituntut dari segenap peringkat, bermula rakyat biasa dan juga semua kumpulan rakyat,” katanya dan menambah tiada rakyat yang terasing daripada bajet berkenaan.
Ahli parlimen Pagoh itu juga menjelaskan Bajet 2013 itu juga akan mampu untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara.
“Ia mampu untuk menjana pertumbuhan negara dan boleh mencapai sasaran untuk mengurangkan defisit,” katanya.
Dalam sesi pembentangan bajet hari ini, Putrajaya telah memperuntukkan sejumlah RM251.6 bilion untuk Bajet 2013, dengan RM201.9 bilion untuk kegunaan mengurus, manakal bakinya, RM49.7 bilion diagihkan kepada peruntukan pembangunan.
Daripada jumlah itu, perdana menteri yang juga menteri kewangan, ketika membentang bajet tersebut berkata, dengan jangkaan kadar kutipan hasil kerajaan bagi tahun 2013 sebanyak RM208.6 bilion, berbanding RM207.2 bilion pada 2012, kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya akan mengurangkan kadar defisit kepada 4.0 peratus daripada KDNK pada 2013, berbanding 4.5 peratus tahun ini.
Bajet itu juga jelas Najib membuktikan kerajaan komited untuk terus mengurangkan defisit fiskal ke paras lebih rendah.
Sementara itu, Bajet Alternatif 2013 Pakatan Rakyat (PR) yang telah dibentangkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu lalu turut dilihat menjadi bajet defisit walaupun mereka cuba memecahkan monopoli dan undang-undang anti-trust yang lebih ketat.
Dari aspek angka, bajet alternatif 2013 PR juga merupakan bajet defisit sebanyak 3.5 peratus, berbanding 4.3 peratus seperti yang dijangka ahli ekonomi tahun depan, dengan perbelanjaan RM234 bilion melebihi simpanan RM197 bilion.
Muhyiddin ketika sidang media itu turut melahirkan rasa gembira kerana beliau yakin dengan pembentangan bajet itu tiada rakyat yang akan tertinggal dan rasa terkilan.
“Tiada pihak yang rasa terkilan dengan bajet hari ini ... penjawat awam menerima bonus secara tiga peringkat, itu adalah pengiktirafan atas sumbangan mereka kepada pembangunan negara.
“Pada umumnya saya rasa bangga, bermakna ekonomi akan terus mantap,” katanya lagi.
“(Dengan ini) rakyat dapat dibantu dengan cara yang agak langsung,” tambahnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan