Sinar Harian berkesempatan bertemu dengan Zarina Abu Bakar, 29, yang pernah terpengaruh dengan teman lelakinya sehingga mengikut jejaka dikenali dengan nama Suhelmi, 27, pulang ke Indonesia kira-kira tiga tahun lalu, berkongsi pengalaman berkaitan dilaluinya.
Guna kata-kata manis
Zarina yang kini bekerja di kantin sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) sememangnya menyesal dengan kejadian berlaku dan mahu memadam peristiwa itu dalam kotak fikirannya.
“Biarlah apa yang berlaku itu berlalu begitu sahaja kerana saya kini mahu membina kehidupan baru dengan suami dan tiga anak di sini.
“Saya juga tidak pernah berhubung dengan Hell (Suhelmi) setelah pulang ke Malaysia termasuklah bertanyakan khabar mengenai anak perempuan (Nur Alisa) kami yang kini berusia satu tahun sembilan bulan,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Kuala Pai.
Mengimbas kembali apa yang berlaku, Zarina berkata, dia mengenali Suhelmi ketika bekerja di sebuah kedai makan di Negeri Sembilan.
Tempoh perkenalan mereka selama tujuh bulan membuatkan Zarina tertarik dengan lelaki tersebut yang sering menggunakan kata-kata manis sewaktu bercakap dan gemar menghadiahkan pelbagai barang.
Zarina yang dibawa ke Lombok Timur, Indonesia secara haram dibawa menaiki bot bersama penumpang lain.
“Saya sendiri tidak tahu bagaimana perjalanan sewaktu menaiki bot kerana pada waktu itu saya tidak ingat apa berlaku dan hanya tersedar peristiwa tersebut setelah hampir setahun setengah berada di sana.
“Namun, apa yang saya ingat, kehidupan saya di sana amat susah, saya terpaksa bekerja menanam padi untuk mencari wang,” katanya.
Pulang secara haram
Zarina berkata, Suhelmi yang sebelum pulang ke Indonesia bekerja di ladang kelapa sawit, selepas itu menjalankan kerja di sawah dengan pendapatan RM2.50 sehari iaitu Rp 10,000 mata wang Indonesia.
Lebih memeritkan apabila dia mengenangkan perjalanan pulang ke Malaysia yang terpaksa ditempuh seorang diri sehingga lemas di lautan.
Dia berkata, segala proses pulang ke Malaysia dilakukan sendiri dengan wang dikirimkan ibunya, Mariam Kassim, 50, tanpa dibantu lelaki yang enggan mengahwininya itu.
Dia sekali lagi terpaksa pulang ke tanah air secara haram terpaksa membayar RM2,500 untuk menaiki kapal terbang ke Batam dan kemudian menaiki bot ke Johor Bahru sebelum menaiki bas ke Kuala Lumpur.
“Sekali lagi saya terpaksa menempuh perjalanan yang amat sukar, apabila tiba di tengah laut, saya dan 26 penumpang lain terpaksa terjun ke laut kira-kira jam 4 pagi dan berenang ke tepi untuk masuk ke dalam hutan.
“Setelah terjun, saya terus pengsan dan hanya tersedar setelah dikejutkan penumpang lain yang membawa saya ke tepi dan kami kemudian berjalan di dalam hutan dan menaiki van kira-kira jam 7 pagi,” katanya.
Zarina berkata, setelah tiba di hentian Puduraya, Kuala Lumpur, dia dijemput ibunya untuk dibawa pulang ke kampungnya, di sini.
Ramai wanita Malaysia di Lombok
Menurutnya, perjalanan yang berliku dan jauh itu membuatkan dirinya insaf untuk berkawan dengan lelaki warga asing yang hanya menjanjikan kata-kata manis namun tidak dikotakan.
Zarina turut berkongsi pengalamannya bersama wanita dari Malaysia lain yang berada di Lombok, Indonesia yang terpaksa melalui kehidupan sama seperti dirinya.
Menurutnya, masih ramai wanita termasuk gadis dari negara ini yang tinggal di sana setelah mengikut teman lelaki mereka.
“Tidak semua wanita mengikut lelaki Lombok dijadikan isteri, ada juga yang tidak berkahwin tetapi tinggal serumah dengan lelaki tersebut.
“Saya juga berharap sekiranya ada pihak yang dapat membantu membawa pulang mereka ke Malaysia kerana mereka juga mahu pulang tetapi terpaksa membatalkan niat akibat kekangan wang,” katanya.
Dua kes terbaru
Sinar Harian Selasa lalu menyiarkan berkenaan situasi terpaksa dihadapi sebuah keluarga di Tanjung Dawai, Sungai Petani yang menunggu selama enam tahun kepulangan anaknya, Munirah Abdul Hamid yang kini dipercayai berada di Batam, Indonesia.
Menurut bapa Munirah, Abdul Hamid Mat, 50, anak ketiga dari lima beradik itu dipercayai terpengaruh dengan teman lelakinya enam tahun lalu sewaktu dia masih bersekolah di tingkatan empat.
Abdul Hamid hanya mengetahui Munirah berada di Indonesia setelah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) memaklumkan gadis itu berada di Batam, pada 2007 dan mereka turut menerima surat 8 Ogos lalu yang menjelaskan dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki.
Keesokan harinya, Sinar Harian menyiarkan pula kisah sepasang suami isteri yang meminta bantuan untuk membawa anak mereka pulang dari Lampung, Indonesia.
Ibu kepada wanita dipercayai mengikut teman lelakinya ke Lampung, Indonesia itu lega apabila menerima panggilan daripada anaknya memaklumkan akan pulang ke tanah air.
Aishah Baharom, 67, dari Taman Wira Mergong gembira apabila menerima panggilan daripada suami anaknya, Hamidah Mohd Noor, 46, yang dikenali dengan Taufik mengatakan mahu pulang ke Malaysia untuk bertemu keluarga.
Hamidah dipercayai mengikut teman lelakinya 11 tahun lalu sewaktu dia bekerja di kilang di Pulau Pinang tanpa memberitahu hasratnya ke sana kepada keluarga dan hanya memaklumkan setelah mendapat cahaya mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan