HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 September 2012

Audit selepas belanjawan ada agenda tersembunyi- Azmin

Oleh: Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR : Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali menyifatkan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) selepas Belanjawan 2013 seolah-olah mempunyai agenda tersirat.

“Kita tidak tahu sama ada belanja kerajaan berhemah atau tidak. LKAN adalah asas untuk perbahasan dan memeriksa belanja kerajaan pada tahun lalu.

“Perkara ini tidak pernah berlaku, seperti ada agenda tersembunyi. Kerajaan mesti ingat yang akhirnya menanggung (belanja) ialah (wang) rakyat,” tegas Azmin yang menyifatkannya ia di luar tradisi Dewan Rakyat selama ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kelmarin berkata laporan audit negara akan dibentang seminggu selepas Belanjawan 2013.

Lazimnya, laporan audit dibentang bersama belanjawan, namun amalan itu ditangguh sejak tahun lalu, hingga dikritik Pakatan Rakyat.

Azmin turut menjangkakan Belanjawan 2013 akan lebih menumpukan kepada agihan ‘one-off” tunai atau skim tertentu, bukannya melalui dasar ekonomi yang memberi manfaat jangka panjang.

“Apakah akan meningkatkan pelaburan, atau memberi lebih banyak peluang kerjaya? Dasar fiskal ‘one-off’ tidak menjamin ekonomi negara secara keseluruhan, melainkan bersifat sogokan.

“Kalau begitu, nampaknya Najib hanya bentang belanjawan untuk pilihan raya. Hanya imbuhan untuk dapat sokongan politik.

“Belanjawan yang dibentang mestilah bertanggungjawab kerana setiap ringgit dan sen yang dbelanja adalah duit rakyat,” tegasnya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam sidang media itu beliau berkata, kerajaan perlu memfokus usaha mengurangkan belanjawan defisit yang berlarutan sejak 14 tahun dan isu kadar hutang negara yang mencecah RM1 trilion.

“Dalam keadaan ekonomi sekarang, secara realistik memang takkan dapat belanjawan berimbang. Jadi fokus kita ialah keupayaan untuk turunkan belanja defisit. Negara harus bersiap sedia. (Isu) Ini yang harus ditangani.

“Jangan ada pemborosan dalam belanja, ‘kickback’ (rasuah) dan sebagainya. Berbanding Pakatan Rakyat, fokus kita tertumpu kepada kelompok yang benar-benar memerlukan. Penyelesaian bukan melalui agihan kekayaan khazanah negara mengikut kaum,” jelasnya.

Ditanya sekiranya kerajaan menciplak idea Belanjawan 2013 oleh Pakatan Rakyat, Azmin berkata pembangkang bersikap terbuka asalkan ia memberi kebaikan kepada rakyat.

“Selagi ia beri kebaikan kepada rakyat, saya bersikap terbuka,’” katanya.

Tiada ulasan: