HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 September 2012

"Malaysia di ambang revolusi"

Oleh Ahmad Lutfi Othman


Jumaat ini bukan kali pertama bajet pilihan raya dibentangkan. Perdana Menteri dan Menteri Kewangan terdahulu pun menggunakan pembentangan belanjawan negara untuk meraih sokongan politik terutama di hujung penggal pemerintahan.

Malah di bawah Najib Razak, tahun ini merupakan kali kedua pelbagai insentif dan keajaiban akan ditawarkan kepada rakyat selepas bajet pilihan raya dibentangkan kali pertama pada 7 Oktober 2011. Waktu itu ramai menjangkakan PRU13 bakal berlangsung pada suku pertama tahun 2012.

Tidak dapat dinafikan bahawa sejak mengambil alih daripada Abdullah Ahmad Badawi, pentadbiran Najib telah mengemukakan bermacam-macam "pelan transformasi", yang sebahagiannya bukan saja sukar difahami malah susah untuk diingati pun!

Tujuannya jelas, iaitu bukan hanya mempertahankan survival Umno-BN yang kelihatan "tercungap-cungap kelemasan" tetapi juga untuk merebut kembali beberapa negeri yang jatuh kepada Pakatan Rakyat, khususnya Selangor, dan menebus majoriti dua pertiga yang hilang di Parlimen.

Untuk itu, Najib akan berbelanja sakan dengan dana awam yang semakin terbatas itu bagi "menggembirakan pengundi, sekali gus memenuhi kantung kroni" tanpa mengambil kira impak negatif kepada ekonomi negara seluruhnya.

Baginya, terlucut kuasa atau dipaksa keluar Seri Perdana membawa padah paling celaka. "Kepada Najib dan pemimpin kanan BN lainnya, kemenangan Pakatan Rakyat bukan sekadar peralihan kuasa," kata seorang veteran Umno, "tetapi ia boleh menyeret mereka ke penjara, jadi ... apalah sangat untuk memenuhi kehendak rakyat melalui bajet kali ini?"

Maka, kita tidak mungkin dapat menyaksikan bajet yang mengemukakan isu-isu pokok dan mendesak bagi mereformasikan struktur ekonomi dan membaiki kepincangan sistem usang yang berjalan sejak sekian lama. (Tunggulah siri pengumuman Najib di Parlimen yang mendapat tepukan gemuruh penyokongnya).

Bebanan hutang negara, misalnya akan bertambah dan sumber kewangan utama seperti Petronas, akan diperah semahunya. Segala projek gajah putih yang telah gagal (disebabkan ketirisan, korupsi dan penyelewengan) cuba dilupakan begitu saja, dan masa sama dipakejkan semula dalam bentuk penjenamaan baru.

Namun, jangan terkejut, jika buat pertama kalinya dalam sejarah tanahair, rakyat akan "terpukau dan tersilau" dengan pembentangan bajet "yang mungkin tidak pernah terlintas dan terbayang  dalam fikiran"!

Melalui bajet 2013 ini, Najib pasti akan memperhebatkan satu-satunya pendekatan politik yang beliau mahir, iaitu menggunakan wang untuk membeli undi dan sokongan, dan ini diakui sendiri orang yang pernah rapatt dengannya, bekas Ketua Penerangan Ummno Pekan, Mohd Arif Sabri, kini menyertai DAP.

Hatta, Dr Mahathir Mohamad Dr Mahathir dilaporkan mengakui bahawa tindakan pentadbiran Najib yang gemar membuat pemberian tunai kepada rakyat Malaysia, melalui pelbagai insentif one off, "menghampiri kepada pembelian undi atau rasuah".

Masalah korupsi yang mengakar dan begitu subur itu tidak pernah dipandang serius oleh regim BN, malah semakin membusuk di bawah Najib. Saya kira, selagi mana isu rasuah tidak ditangani dengan tuntas, apa jua perancangan diusahakan, biar sehebat mana unjuran pertumbuhan ekonomi dicanang, target "kesejahteraan dan kebahagiaan" rakyat mustahil dapat dicapai.

Lebih malang apabila Perdana Menteri sendiri, yang diharap dapat membawa pembaharuan, dilihat terpalit langsung dalam skandal komisyen kapal selam Scorpene, sehingga secara tiba-tiba NGO hak asasi manusia, Suaram yang membawa kes itu di mahkamah Perancis, kini dilihat sebagai "musuh no.1 negara yang mesti dihapuskan dengan apa cara jua".

Dalam kunjungan ke pejabat Harakah, Sabtu lalu, Pengarah Suaram, Cynthia Gabriel menegaskan bahawa komitmen pihaknya untuk membongkar skandal tersebut tidak terencat biarpun berdepan pelbagai kemungkinan dan risiko buruk.

"Semakin lambat tarikh PRU13 diumumkan, ia mungkin lebih baik untuk kita. Mungkin lebih banyak rahsia terbongkar walaupun diakui kes (Scorpene) ini berjalan perlahan," tambahnya sambil ketawa kecil.

Membaca kembali ucapan perbahasan Bajet 2012 oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, saya tertarik apabila bekas Menteri Kewangan itu menekankan: "Sebarang usaha membaiki kedudukan ekonomi negara tidak akan berhasil jika tidak disertai oleh reformasi politik yang menyeluruh.

"Sementara kedudukan ekonomi negara yang semakin goyah -- bergelumang dengan masalah defisit yang kian meruncing, kelembapan ekonomi dizahirkan dalam bentuk kenaikan harga barang dan gaji rendah yang menekan rakyat --  kita tetap dijangkiti dengan keborosan, rasuah dan ketirisan."

Dalam mukadimahnya, Anwar mengingatkan: "Permasalahan pokok dan sebarang rencana ekonomi tidak terlepas dari isu tatakelola pentadbiran yang baik. Hambatan besar bagi mana-mana ekonomi termasuklah ekonomi kukuh sekalipun adalah soal keutamaan dan kewibawaan institusi."

Selain mengulangi tekad melakukan usaha reformasi politik dan institusi, misalnya jika Pakatan Rakyat memerintah akan dibentangkan Akta Pemulihan Demokrasi untuk memansuhkan semua peruntungan undang-undang yang tidak demokratik, Anwar menekankan iltizam untuk merombak Jabatan Perdana Menteri dengan menaiktaraf jabatan-jabatan berkaitan tata kelola dan pertanggungjawab nasional seperti SPR, SPRM, Biro Pengaduan Awam dan lain-lain supaya bertanggungjawab terus kepada Parlimen.

Memperteguhkan wibawa dan integriti institusi kritikal merupakan keperluan segera yang tiada dalehnya lagi. Ia bukan hanya membabitkan badan-badan disebut Anwar itu, juga Jabatan Peguam Negara, Parlimen, pasukan penguatkuasa seperti polis dan majlis perbandaran, cabang kehakiman, dan tidak terkecuali membudayakan amalan good governance seperti akauntabiliti dan transparensi.

Dalam pada itu, seorang rakan memberi reaksi menarik apabila saya bertanyakan kemungkinan penyokong Pakatan dapat "dijinakkan" dengan Bajet 2013 ini: "Selama ini Najib dah buat macam-macam tapi rakyat tetap tak puas hati. Elit Umno-BN ini umpama beri RM10, tetapi mereka sendiri sapu RM1,000. Orang tahu rasuah di mana-mana."

SMS seorang lagi sahabat saya lebih mengejutkan: "Tiba-tiba aku rasa Malaysia di ambang revolusi. Bukanlah revolusi melalui demonstrasi tetapi suatu perubahan mendadak yang tidak terkawal oleh sesiapa, termasuk Najib dan segala jenteranya."

Tiada ulasan: