Oleh Sidiqin Omar
KUALA LUMPUR : Peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) tahun ini yang mempunyai soalan mengenai perhimpunan
Bersih 3.0 merupakan usaha kerajaan meracuni pemikiran pelajar supaya
berpandangan negatif terhadap penganjuran himpunan itu, kata Azan
Ismail.
Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, kelompok Kementerian
Pelajaran yang taksub terhadap Umno BN tidak faham mengenai tuntutan
mereformasi sistem pilihan raya yang bebas dan adil seperti termaktub
dalam lapan tuntutan gabungan NGO itu.
“Kempen Bersih adalah neutral. BN sendiri mendapat manfaat dari
kempen itu. Tidak lain tujuan penulis soalan ini mahu ‘meracun’
pemikiran pelajar sekolah dan memberi gambaran negatif terhadap kempen
Bersih,” katanya kepada Keadilan Daily.
“Bukankah mahkamah mengatakan entiti Bersih bukan pertubuhan haram.
Manakala hal berkaitan himpunan adalah perkara yang subjektif
tafsirannya,” kata Azan lagi.
Beliau khuatir tindakan itu akan merebak dan memberi gambaran buruk kepada Pakatan Rakyat jika tidak dikawal.
“Kita bimbang akan ada soalan dalam subjek lain yang menjurus kepada
pandangan negatif terhadap Pakatan Rakyat dan pemimpinnya. Apa yang
berlaku kini hanya permulaan.
“Tindakan ini menunjukkan Umno BN terlalu terdesak sampai terpaksa memanipulasi soalan peperiksaan percubaan SPM,” kata Azan.
Dilaporkan, sebuah sekolah di Johor Bahru mengeluarkan soalan
percubaan subjek Moral SPM berhubung perhimpunan Bersih 3.0 yang
mengandungi dua gambar himpunan tersebut 28 April lalu.
Dengan
merujuk kepada gambar yang diberi, soalan itu bertulis ”Adakah wajar
atau tidak bagi seseorang warganegara itu untuk menyertai perhimpunan
haram?”.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr
Puad Zarkashi berkata, tidak ada masalah mengenai soalan tentang
perhimpunan Bersih 3.0 dalam peperiksaan percubaan tersebut.
Puad beralasan, selagi soalan itu tidak melibatkan sensiviti
perkauman, agama atau menghina mana-mana individu, ia boleh digunakan.
“Paling melucukan, soalan pendidikan Moral tidak pula meletakkan asas
moral itu sendiri. Sepatutnya soalan subjek moral itu memupuk perpaduan
dan nilai keperibadan mulia. Bukankah isu moral begitu teruk
kebelakangan ini? Kenapa itu tak disentuh?” soal Azan.
“Sebelum ini Umno BN sibuk tuduh Pakatan Rakyat. Hari ini, jelas
membuktikan mereka sebenarnya yang melakukan perkara itu,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan