HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 September 2012

Siswa pertikai pengendalian p'raya kampus UIA

MALAYSIA KINI


 
Kumpulan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mempertikaikan pengendalian pilihan raya kampus di institut pengajian tinggi mereka, terutamanya berhubung masalah teknikal yang menyebabkan keputusannya digantung.

Empat badan yang bergabung membentuk Pro-Mahasiswa universiti itu juga menyatakan keraguan mereka terhadap proses demokrasi itu apabila keputusan penggantungan itu didakwa dilewat-lewatkan sedangkan masalah itu dikenalpasti sejak jam 6 petang.

“Penangguhan pengumuman keputusan dan sikap melewat-lewatkan pengumuman yang dilakukan oleh pihak jawatankuasa pilihan raya kampus, membangkitkan kemusykilan apakah pihak yang terbabit mampu mengurus tadbir perjalanannya,” menurut mereka.

Empat badan terlibat ialah Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA) dan Kelab Maaruf UIAM (MC).

Keputusan pilihan raya kampus Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang menggunakan sistem elektronik e-undi kelmarin digantung ekoran masalah teknikal apabila jumlah undi direkodkan melebihi jumlah mahasiswa keluar mengundi.

Justeru, jawatankuasa pemilihan kampus mencadangkan kepada Dewan Senat supaya diadakan pilihan raya semula secara manual dalam tempoh seminggu secara manual.

Sementara itu, dalam kenyataan bersama empat kumpulan mahasiswa itu semalam, mereka juga membangkitkan beberapa perkara, antaranya:

- Kenapa calon bertanding tidak dimaklumkan awal berhubung keputusan menggantung keputusan dan kenapa ia dimaklumkan kepada media terlebih dahulu.

- Kenapa media seperti saluran televisyen terlebih dahulu mengumumkan keputusan palsu yang hanya dikutip daripada Internet?

- Terdapat makluman salah diberikan kakitangan bertugas yang menunujukkan jawatankuasa tidak bersedia menguruskan pilihan raya kampus.

Justeru, Pro-Mahasiswa UIA menuntut jawatankuasa pemilihan membenarkan wakil mahasiswa bertindak sebagai pemerhati selain data-data pengundian yang dikatakan bermasalah diumumkan.

Jawatankuasa pemilihan kampus UIA dalam kenyataannya sebelum ini memohon maaf terhadap sebarang kesulitan dan menegaskan proses pengundian lancar tanpa campur tangan luar dan parti politik.

1. Keputusan p'raya kampus UIA digantung

Tiada ulasan: