HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 September 2012

Syed Mokhtar didakwa berhutang RM34 bil

KL TODAY

 

Hutang terkumpul sebanyak RM34.3 billion yang ditanggung syarikat-syarikat milik Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary mewujudkan kemungkinan besar yang kerajaan akan terpaksa menebus hutang tersebut dengan wang rakyat, kata Ahli Parlimen DAP Tony Pua hari ini.

Ahli parlimen Petaling Jaya Utara memberitahu wartawan bahawa soalan tersebut yang diajukan kepada Kementerian Kewangan dihalang oleh Speaker Dewan Rakyat kerana ia berdasarkan andaian.

“Jika kumpulan syarikat mempunyai hutang sebanyak RM34.3 billion, dan apabila tidak mampu untuk membayarnya, kemampuan syarikat yang lain untuk membayar hutang juga akan terjejas.

“Pada tahun 1997, kerajaan terpaksa menebus hutang syarikat, dan terpaksa membeli LRT, memberi pinjaman kepada Tan Sri Halim Saad yang berjumlah RM3.2 billion yang tidak dibayar balik,” kata Pua yang merujuk kepada syarikat kumpulan Renong semasa krisis ekonomi pada 1997.

Pua berkata, beliau kesal bahawa Datuk Seri Najib Razak, yang juga merupakan menteri kewangan, tidak menjawab soalannya hari ini kerana ia bakal mendedahkan risiko kepada krisis ekonomi.

“Syarikat beliau (Syed Mokhtar) berhutang sebanyak RM34.3 bilion, lebih dari sepuluh peratus dari hutang korporat nasional, dibandingkan dengan Renong sebanyak RM20 bilion, iaitu cuma lapan peratus.

“Ini adalah perkara serius dan bakal menjadi masalah kepada kewangan dan industri perbankan di negara ini,” kata Pua lagi.

Pua dalam soalannya meminta Menteri Kewangan menyatakan kesan negatif kepada sistem kewangan dan perbankan tempatan apabila syarikat milik Syed Mokhtar mempunyai jumlah hutang yang dianggarkan melebihi sepuluh peratus kesemua hutang korporat di Malaysia.

“Nak tanya ‘sangkaan’ apakah yang menyebabkan Menteri Kewangan enggan menjawab soalan ini sedangkan semua soalan yang dikemukakan kepada Dewan selama ini adalah sangkaan dan dakwaan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Pua menegaskan, dakwaan jumlah hutang itu bukan satu rekaan sebaliknya fakta yang diperoleh melalui sumber terbuka di Bursa Saham dan Bank Negara.

Syed Mokhtar memiliki syarikat perhotelan Tradewinds, MMC Corporation dan pada awal tahun ini telah berjaya dalam bidaan untuk menswastakan Pelabuhan Pulau Pinang yang mendapat kritikan dari kedua belah ahli politik Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

Timbalan pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Bung Mokhtar Radin berkata, “Syed Mokhtar umpama raja kerana banyak bank di belakangnya.”

Tiada ulasan: