HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 September 2012

Bantahan terhadap Zakir: MIC tidak matang

 


 
Kritikan terhadap MIC timbul ekoran bantahan parti itu terhadap kehadiran pendakwah Islam dari India, Dr Zakir Naik. 


PETALING JAYA: Sebuah persatuan India Muslim yang kurang dikenali, Persatuan Inspirasi Muhibah India Muslim Malaysia (IMIM) merasakan bahawa tindakan MIC meminta pendakwah Islam Dr Zakir Naik dinasihatkan agar tidak menghina agama-agama lain sebagai “tidak matang dan tidak wajar”.

“Kedatangan beliau ke Malaysia telah disalah tafsirkan dan ditokok tambah dengan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas.

“Beliau tidak pernah memaki atau memburukkan agama lain.  Sejajar dengan itu sungguh malang bagi sebuah parti yang besar seperti MIC menuduhnya sebegini,” kata Pengerusi IMIM, Sabarudin Abdul Rahman di dalam satu surat kepada presiden MIC, Datuk G Palanivel pada hari Selasa.

Sabarudin turut meminta MIC berhenti menggunakan media sebagai saluran untuk menyekat kedatangan Zakir.

Pada hari Isnin, Ketua Pemuda MIC, T Mohan mengumumkan bahawa pergerakannya akan meminta kerajaan menasihatkan Zakir agar tidak menghina agama – agama selain Islam, terutamanya termasuk agama Hindu.

“Kami mahu pihak penganjur memberi jaminan Zakir tidak akan menyentuh sensitiviti agama lain,” kata Mohan kepada media.

Zakir singgung masyarakat Hindu

Berita itu telah disiarkan di dalam slot berita Tamil dua hari lalu.

Pengumuman tersebut dibuat Mohan ekoran daripada laporan media bahawa Zakir menyinggung sensitiviti masyarakat Hindu di India yang sembahyang semasa perayaan  Vinayagar Chathurti pada minggu lepas.

Penganjur ceramah Zakir, Saba Islamic Media merancang untuk menengahkan Zakir di empat lokasi.
Ceramah pertama akan berlangsung di Dataran Bandaraya Johor Bahru esok dan yang terakhir di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 7 Oktober.

Masyarakat bukan Islam turut dijemput menghadiri sesi ceramah tersebut.

Dalam surat sama, Sabarudin menyatakan kehadiran masyarakat bukan Islam di dalam ceramah tersebut adalah di atas kerelaan mereka sendiri.

“Kedatangan bukan Islam ke acara ini juga bukan atas paksaan atau disuruh tetapi adalah atas kerelaan mereka sendiri.

“Kedatangan mereka dialu-alukan sebagai pemerhati dan bertanya soalan-soalan yang menjadi kemusykilan mereka selama ini,” kata Sabarudin.

Ketua IMIM turut menegaskan bahawa masyarakat bukan Islam tidak dipaksa untuk menerima jawapan Zakir secara bulat.

Tiada ulasan: