HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 September 2012

Isu hudud: Pas diingat tidak cepat melatah

Wartawan Sinar Harian

Azman Shapawi
Azman Shapawi
 
KUALA TERENGGANU – Pemimpin dan penyokong Pas diingat tidak cepat melatah terhadap laporan akhbar yang ‘galak’ menyiarkan percanggahan berhubung pendirian Pas dan DAP mengenai pelaksanaan hudud.

Timbalan Ketua Penerangan Pas negeri, Azman Shapawi Abdul Rani berkata, laporan media khususnya arus perdana mengambil isu tersebut untuk menimbulkan kekeliruan kepada rakyat dan menggambarkan pertelingkahan berpanjangan wujud sejak sekian lama antara Pas dan DAP.

Beliau berkata, laporan sedemikian juga secara tidak langsung cuba mengganggu gugat kerjasama politik atau ‘tahalluf siyasi’ yang telah dibentuk dalam Pakatan Rakyat (PR).

“Kita sedar sudah lama DAP tidak setuju dengan hudud sebelum bersama (PR) lagi. Bagaimanapun, ‘tahalluf siyasi’ ini adalah perjuangan isu yang sama antara DAP dan Pas.

“Jangan satu benda kerana tidak bersetuju, kita bertelingkah, itu tidak betul. Kita ada persamaan dari sudut penentangan terhadap rasuah dan Akta Dalam Negeri (ISA). Ini persamaan bersama dengan PR. Bukannya kalau tidak bersetuju dengan satu perkara kita tidak boleh bekerjasama,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata sebagai mengulas laporan sebuah akhbar tempatan mengenai pendirian Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang senada dengan pemimpin veteran DAP lain iaitu Karpal Singh dan Lim Kit Siang bahawa hudud bukan dasar pakatan pembangkang.

Azman Shapawi berkata, DAP sebenarnya sudah memahami Pas dan begitu juga sebaliknya.

Beliau percaya, kebaikan  yang diperoleh hasil daripada kerjasama itu juga telah menyebabkan timbulnya musuh politik yang cuba memperbesarkan isu hudud dalam media.

“Saya melihat dari sudut yang luas iaitu hubungan ini boleh diteruskan walaupun tidak bersetuju dengan satu perkara kerana banyak kebaikan hasil daripada kerjasama tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun mengakui bahawa Pas belum berbincang mengenai pelaksanaan hudud secara khusus sekiranya PR menang pada pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, pihaknya akan menerangkan satu persatu perkara berbangkit bagi menyelesaikan kekeliruan yang timbul khususnya dalam kalangan pimpinan DAP.

“Memang PR tidak bincang semua sekali kalau menang. Secara terperincinya, perkara yang melibatkan hak orang Islam, orang bukan Islam tidak boleh ganggu, begitulah sebaliknya kerana itu hak mereka,” katanya.

Tiada ulasan: