HALAMAN SANTAI

Jumaat, 7 Disember 2012

Ambiga dakwa pihak membencinya gunakan isu sensitif untuk serang peribadi


KUALA LUMPUR — Pengerusi bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk Ambiga Sreneevesan berkata pihak yang menyerang beliau dalam isu Bersih, bukan disebabkan apa yang diperjuangkannya, tetapi kerana isu bangsa dan agama. 
 
"Saya boleh kata, yang mereka menggunakan isu agama dan bangsa untuk menyerang saya, bukan apa yang saya perjuangkan.

"Saya fikir orang ramai akan marah kepada mereka sekiranya mereka menyerang seorang Sasterawan Negara," kata Ambiga (gambar) semasa soal jawab dalam inkuiri mengenai keganasan yang berlaku pada 28 April semasa perhimpunan Bersih 3.0 yang diadili oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), sambil merujuk kepada seorang lagi pengerusi bersama Bersih, Datuk A Samad Said.

Ambiga mendakwa, pada 6 April 2012 Ketua Wira Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa), yang mewakili sayap pemuda pertubuhan tersebut, Irwan Fahmi berkata bahawa dirinya akan menyerang habis-habisan terhadap Ambiga kerana Anti-Christ kepada orang Islam.

"Irwan telah membuat kenyataan bahawa beliau akan menyerang saya habis-habisan dengan mengatakan saya adalah Anti-Christ kepada orang Islam, kerana menyokong hak LGBT dan hak untuk orang Islam murtad.

"Untuk terus kekal Islam, beliau berkata kepada wartawan pada tarikh tersebut supaya tidak ke Bersih kerana pemimpinnya adalah pengkhianat bangsa dan agama," kata Ambiga membacakan kenyataan Irwan.

Ambiga juga berkata terdapat satu perhimpunan mengecam beliau di Universiti Putra Malaysia (UPM) sambil melaungkan slogan "Tolak Ambiga, Tolak LGBT", serta laungan-laungan menuduh beliau sebagai anti-Islam.

"Ini sama sekali tidak benar. Saya bukan anti-Islam," kata Ambiga lagi.

Ambiga juga mendakwa provokasi seperti senaman punggung, menjual burger daging lembu di hadapan rumahnya dan membuka tapak warung di hadapan rumahnya adalah satu provokasi jahat untuk menghina dirinya.

"Saya tak pasti apa yang dilakukan oleh mereka ini sudah diambil tindakan," kata Ambiga lagi.

Pada Mei lalu, kira-kira 10 askar bersara membuat senaman punggung pagi tadi dalam protes kedua yang dilakukan di luar rumah Datuk Ambiga Sreenevasan di Bukit Damansara untuk membantah perhimpunan Bersih pada 28 April lalu.

Ahli-ahli Persatuan Veteran Tentera Malaysia (PVTM) melakukan senaman punggung itu sebagai protes terhadap pengerusi Bersih yang mereka dakwa sebagai "musuh" negara.

"Kami tentera veteran ada hak untuk membantah ‘musuh' yang cuba cemarkan nama negara," presiden PVTM Datuk Mohd Ali Baharom berkata.

Apabila Ambiga berjumpa dengan veteran askar di luar rumahnya, mereka memberikan poster yang ditulis "tolak Ambiga Anwar" kepadanya, yang merujuk kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di poster itu juga terdapat lukisan seorang lelaki berpakaian kuning, iaitu warna rasmi Bersih, dengan seluarnya terbuka dan punggungnya terdedah di bawah perkataan "perusuh haram Bersih 3.0".

Perhimpunan 28 April menyaksikan ribuan peserta berkumpul di enam lokasi berasingan sebelum bergerak menuju ke Dataran Merdeka pada mulanya aman bertukar ganas apabila Ambiga mengarahkan peserta untuk bersurai.

Panel inkuiri diketuai Naib Pengerusi Suhakam Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu dengan ahli suruhanjaya Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid and Detta Same, untuk menyiasat punca keganasan yang berlaku pada 28 April lalu.

Inkuiri seterusnya akan diberitahu oleh para panel pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Tiada ulasan: