Kerajaan negeri (Selangor) juga didakwa menyalah guna wang rakyat untuk kepentingan politik dengan menjalankan kaji selidik itu.
SHAH ALAM: Sebuah NGO mendakwa kaji selidik daftar pengundi yang dijalankan kerajaan negeri Selangor bagi membuktikan wujudnya pengundi hantu di negeri itu hanya mengelirukan rakyat.
Wakil Majlis Perundingan Melayu (MPM), Hanafi Sulaiman berkata, kerajaan negeri juga didakwa menyalah guna wang rakyat untuk kepentingan politik dengan menjalankan kaji selidik itu.
“Tidak wajar kerajaan negeri melangkaui tugas dan peranan yang diberikan kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) sehingga kaji selidik itu dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perjumpaan SPR bersama pemimpin parti politik dan taklimat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) serta aturcara simulasi pilihan raya di sini hari ini.
Hanafi menegaskan, “kaji selidik yang dilakukan kerajaan negeri hanya membuat orang ramai jadi keliru sedangkan segala laporan dan kajian semula ini sepatutnya dilakukan SPR.
“Kalau tengok dalam Perlembagaan Persekutuan di mana SPR ada tiga tugas. Pertama, mereka mentadbir pilihan raya, kedua melakukan persempadanan dan mendaftarkan pemilih tapi apa yang berlaku di Selangor, ialah kerajaan negeri menjalankan kaji selidik,” terangnya.
Menurutnya, SPR tak pernah menyuruh mereka menjalankan kaji selidik untuk menentukan sama ada para pengundi membuat pendaftaran atau tidak, undi di mana. Perbuatan ini membuat orang ramai menjadi keliru.
“Sepatutnya orang buat laporan sebab kerja-kerja ini tak boleh dibuat, hanya SPR sahaja yang boleh. Daftar pemilih, persempadanan semula. Apa rasionalnya, apa untungnya berbuat begitu sedangkan SPR ada autoriti berbuat demikian?” soal Hanafi.
Pada Jun lalu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyerahkan 94,474 borang Kaji Selidik Daftar Pengundi melibatkan tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Pandamaran, Pelabuhan Klang, Selat Klang, Sri Serdang, Kota Anggerik, Batu Tiga, Sri Muda dan Sri Andalas.
Menurut Menteri Besar, tujuan kaji selidik tersebut dijalankan adalah untuk membuktikan kepada SPR bahawa wujudnya pengundi hantu berdasarkan peningkatan luar biasa jumlah pengundi baru.
Simulasi pilihan raya
Dalam perkembangan yang berkaitan, Pengarah Pilihan Raya Negeri Selangor, Dzulkifli Ab Rahman berkata, proses simulasi pilihan raya yang pertama kali diadakan ini adalah bagi memberi penjelasan mengenai dakwat kekal dan tempoh masa bantahan
.
Ianya disertai oleh kira-kira 150 para pemimpin negeri yang mewakili pelbagai parti yang akan bertanding dalam PRU ke 13 nanti.
Penyelaras Barisan Nasional (BN) Shah Alam, Datuk Nawawi Md Zain ketika ditemui berkata, simulasi memberi penjelasan menyeluruh tentang banyak perkara berbangkit dan menambah, “kalau dulu ada masa bantahan, kini tiada masa bantahan.”
Timbalan Pengarah 1, Jabatan Pilihan Raya Selangor, Khairuddin Osman pula berkata, terdapat beberapa isu yang tidak dijawab dengan jelas oleh SPR antaranya mengenai kertas permohonan.
“Malah dari segi peraturan perjalanan pilihan raya juga perlu diperbaiki,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan