HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Disember 2012

Keadilan untuk rakyat mesti ditegakkan tanpa kompromi – Anwar

Oleh Aisha Geoffrey

KUALA LUMPUR- Untuk menjadi seorang pemimpin reformasi, keadilan untuk rakyat merupakan asas utama dan perlu ditegakkan tanpa sebarang kompromi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau memuji ketokohan mantan Presiden Indonesia, BJ Habibie yang tegas melaksanakan reformasi terhadap demokrasi di negara republik itu sewaktu era pemerintahannya.

“Pak Habibie mampu dan berupaya arahkan tentera serta polis bebaskan semua tahanan politik sejurus selepas mengambil alih tampuk pemerintahan, malah sebelum kabinet disusun,” katanya.



Ketua Umum KEADILAN itu berkata demikian ketika berpidato pada majlis makan malam sempena lawatan rasmi Habibie ke Selangor, di sebuah hotel di Shah Alam, malam tadi.

Selanjutnya, Anwar berkata, pada hari pertama pentadbiran, Habibie juga membebaskan saluran media di Indonesia yang dikongkong pada zaman pemerintahan Soeharto.

Menurutnya, Habibie turut dikritik kerana tidak mematuhi protokol dan peraturan sewaktu melakukan pembebasan itu.

Namun, Habibie menjawab, “Saya tidak boleh menjadi Presiden Indonesia yang tidak adil kepada semua rakyat saya,” kata Anwar menceritakan perbualannya bersama tokoh demokrasi itu.

“Habibie merupakan reformis yang sedia mengambil langkah-langkah tidak protokol dan ghairah dalam memberi keadilan kepada rakyat Indonesia. Dan sebab itu ia (keadilan) tiada kompromi,” jelas Anwar.

“Matlamat kita adalah keadilan untuk semua. InsyaAllah di Selangor, dan nanti di Putrajaya kita akan batalkan semua halangan termasuk karenah protokol yang keterlaluan untuk penuhi prinsip kebebasan, dan kepedulian kepada rakyat,” kata Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Negeri Selangor itu.

 Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Bacharuddin Jusuf Habibie adalah presiden ketiga republik Indonesia. Beliau lahir di Pare-Pare, Sulawesi Selatan, pada 25 Jun 1936.

Sebagai presiden yang mengambilalih tampuk pemerintahan dari Soeharto, Habibie banyak membuat perubahan walaupun tempoh masa untuknya singkat.

Antara perubahan besar yang dibuat beliau adalah kebebasan media di Indonesia. Hari ini, media di Indonesia jauh lebih bebas dari Malaysia.

Tiada ulasan: