HALAMAN SANTAI

Jumaat, 21 Disember 2012

OKU ikut bantah PM di Himpunan Kebangkitan Rakyat

Oleh Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR: Orang Kelainan Upaya (OKU) antara sejuta rakyat yang akan ikut serta ke Himpunan Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari bagi menyatakan bantahan mereka terhadap pentadbiran Perdana Menteri.
 
“Selepas 55 tahun BN perintah, nasib OKU masih tak terbela. Warga OKU sokong himpunan ini. Kita harap perubahan kepada Malaysia,” kata wakil OKU Bangkit, Shahmar Saad.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, hari ini sempena pengumuman HKR oleh pengarah program, Mohamad Sabu sebelum itu.

Manakala wakil Permuafakatan Kampung Warisan (Muafakat), Ishak Surin menyeru seluruh waris tanah warisan untuk hadir memberi sokongan.

“Terlalu ramai rakyat Malaysia dari semua keturunan yang mendiami kawasan mereka dihalau.

“Di Kampung Railway, Sentul (penduduk) sudah tinggal 120 tahun dan mereka diusir. Begitu juga Kampung Kerinchi, penduduknya dihalau. Kita akan hadapi banyak pengusiran jika si durjana terus dibiarkan berkuasa,” tegas Ishak.

Wakil Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mohd Nasaie Ismail pula berkata, satu himpunan besar-besaran akan diadakan di Wisma Felda, Jalan Semarak 28 Disember ini sebagai ‘pemanas badan’ menjelang Himpunan Kebangkitan Rakyat.

“Ini kerana wang KPF (Koperasi Permodalan Felda) disuntik kepada FGVH (Felda Global Ventures Holdings). Kita akan duduk sampai Isa Samad turun daripada Felda.

“Ada dua lagi NGO yang akan menyertai kami, iaitu Badan Peserta Felcra dan Badan Bertindak Tanah Negeri Sabah. Anak sedang lakukan Jelajah Oren untuk menyeru warga Felda menyertai himpunan,” katanya.

Turut hadir sidang media ialah wakil Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Adam Adli, Penasihat Undang-undang Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Zulhazmi Shariff dan Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edi Nor Riduan.

Tiada ulasan: