| Harakahdaily, |
“Biar saya beritahu SPRM dan Jabatan Peguam Negara bahawa keutamaan yang mendesak dalam membanteras rasuah di Malaysia adalah untuk SPRM dan Jabatan Peguam Negara menjalankan kursus berkenaan rasuah buat Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kabinet, Menteri Besar dan Ketua Menteri terutamanya di Sarawak dan Sabah serta pegawai tinggi kerajaan termasuk Peguam Negara sendiri sekiranya Malaysia benar-benar serius membanteras ‘rasuah besar’,” ujar Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas Pengarah Pemandu, D Ravindran yang bertanggungjawab terhadap bahagian anti-rasuah bagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengenai kursus penggubal undang-undang.
“Pelan Transformasi Kerajaan 2.0 (GTP 2.0) sebenarnya mempunyai komitmen oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Abu Kassim Mohamad dan AG (Tan Sri Abdul Gani Patail), di mana kedua-duanya akan mengadakan kursus untuk penggubal undang-undang kita.
“Jadi, untuk pertamakalinya, kita akan mendidik ahli parlimen kita mengenai apa yang boleh diambil atau apa yang tidak boleh diambil,” ujarnya.
Justeru, kata Lim, kelihatan ramai di kalangan pemimpin tinggi politik dan kerajaan itu tidak tahu “yang mana betul dan yang mana salah untuk diambil”.
Ini, ujarnya yang menyebabkan banyak dakwaan penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah terhadap mereka yang belum lagi diberikan jawapan memuaskan, baik skandal “sumbangan politik kepada UMNO Sabah” berjumlah RM40 juta melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman atau kekayaan luar biasa keluarga Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud berjumlah RM64 bilion selepas 30 tahun menjadi Ketua Menteri Sarawak sepertimana yang didakwa oleh Bruno Manser Foundation baru-baru ini.
“Adakah SPRM dan Jabatan Peguam Negara berani untuk menjalankan kursus bukan sahaja tentang bagaimana untuk mengelakkan rasuah kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kabinet, Menteri Besar dan Ketua Menteri terutamanya di Sarawak dan Sabah serta pegawai tinggi kerajaan, tetapi juga tentang tanggungjawab mereka untuk menjelaskan dengan lengkap dan memuaskan apabila dakwaan rasuah yang serius dibuat secara terbuka ke atas mereka, termasuklah membersihkan nama mereka dan memulihkan reputasi mereka di mahkamah?” soalnya yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan