SINAR HARIAN
Sabah diceroboh
LAHAD DATU - Pendaratan kumpulan militan dari selatan Filipina di
pesisir pantai Lahad Datu, khasnya di Kampung Tanduo, dekat sini 12
Februari lepas membawa pelbagai cerita duka kepada penduduk, sekali gus
merubah rutin kehidupan daripada ceria kepada malapetaka.
Diselimuti hutan sekunder dan dipisahkan sebatang sungai dari kawasan
ladang kelapa sawit Sungai Nyamuk, petempatan itu yang dilatari
pokok-pokok renek dan kawasan berpaya serta menghadap laut didiami 12
keluarga, rata-ratabekerja sebagai nelayan dan pekerja ladang.
Namun, dalam sekelip mata kedamaian perkampungan itu lenyap dan
bertukar menjadi zon perang apabila sekumpulan lelaki asing berpakaian
ala tentera dan bersenjata api mendarat pada hari Selasa, lebih sebulan
lepas.
Kedegilan kumpulan kira-kira 200 orang itu berundur dari Kampung Tanduo
setelah diberi peluang, memaksa kerajaan melancarkan gerakan ofensif
ke kubu penceroboh itu pada kira-kira 7 pagi, 5 Mac menggunakan tiga jet
penyerang F/A 18D Hornet.
Gerakan ofensif Operasi Daulat itu diteruskan dengan lima pesawat Hawk
melancarkan operasi pengeboman, diikuti ledakan bertalu-talu mortar
91mm pasukan tentera darat sebelum penggeledahan dilakukan untuk memburu
saki-baki pengganas.
Setelah melalui proses penggeledahan dan pembersihan yang panjang,
Kampung Tanduo yang menjadi titik pertempuran antara pasukan keselamatan
dan kumpulan militan akhirnya diisytihar bersih dan bebas daripada
ancaman pada 11 Mac, sekaligus membawa khabar gembira kepada penghuninya
yang terpaksa berpindah ke beberapa pusat petempatan sementara.
Bagaimanapun, kegembiraan penduduk untuk kembali ke rumah bertukar pilu
apabila melihat sendiri kemusnahan yang dialami kampung mereka.
Kepulangan semula mereka ke rumah masing-masing Selasa lalu selepas 43
hari insiden pencerobohan disambut pemandangan menyayat hati
menyaksikan ketenangan kampung yang dinikmati sebelum ini lenyap
daripada pandangan dengan rumah-rumah dan harta benda musnah.
Hampir semua rumah mempunyai kesan tembakan akibat pertempuran dan ada
yang hanya tinggal tiang, atap atau serba tidak engkap, satu gambaran
yang sebelum ini hanya dilihat dalam peperangan di luar negara menerusi
televisyen.
"Saya tidak mahu tinggal di sini lagi...," ungkapan oleh Atareh Sabtal,
39, cukup untuk menggambarkan kehampaan dan kepiluan penduduk kampung
itu.
Kenangan hiba yang bakal kekal dalam ingatan itu diceritakan semula
oleh Asaad Majijil, 70, yang memberitahu bahawa ertempuran itu
menyebabkan beliau dan keluarga kehilangan dokumen peribadi setelah
rumah yang didiami sejak 50 tahun lepas musnah sama sekali.
"Sangat sedih untuk melihat keadaan rumah, memang teruk, dahsyat dan menakutkan," katanya sambil air mata berlinangan.
Berikutan kerosakan teruk yang dialami kampung itu, Pesuruhjaya Polis
Sabah Datuk Hamza Taib kemudian mengumumkan Kampung Tanduo akan ditutup
serta tidak lagi menjadi kawasan petempatan dan penduduk yang kini
menghuni pusat pemindahan sementara akan dipindahkan ke satu lokasi
baharu.
Pegawai Daerah Lahad Datu Zulkifli Nasir berkata, keputusan itu
membolehkan pihak berkuasa menyusun semula penduduk ampung itu yang
sebelum ini tinggal secara berselerak di satu kawasan penempatan baharu
yang lebih kondusif di atas tanah erajaan seluas 120 hektar.
Adun Tungku Datuk Mohd Suhaili Said pula berkata, penduduk tidak perlu
bimbang kerana semua yang terlibat akan ditempatkan di Projek Perumahan
Rakyat Masej Nala, kira-kira 60 kilometer dari kampung itu sebelum
penempatan baru disiapkan.
Menyambut baik langkah menempatkan semula penduduk kampung itu di satu
kawasan baru, Atareh, yang masih trauma selepas menyaksikan rumahnya
musnah teruk, berkata keputusan itu amat tepat, sekali gus mengembalikan
keyakinan mereka untuk terus menjalani kehidupan seperti biasa.
"Saya tidak mahu tinggal di sini lagi... saya juga tidak mahu tinggal
dalam komuniti yang mempunyai musuh dalam selimut, jadi adalah baik
jika ditawarkan sistem perumahan yang teratur," katanya.
Dalam pada itu, seorang komando tentera yang terlibat dalam operasi
awal memerangi pengganas di Kampung Tanduo berkata, lokasi kampung itu
yang agak jauh dan terasing daripada masyarakat memungkinkan pelbagai
kejadian jenayah selain mudah terdedah kepada ancaman pengganas,
khususnya dari laut.
"Lokasinya yang hampir dengan laut dan dekat dengan negara jiran cukup
berisiko, ditambah lagi dengan keadaan hutan serta berpaya dan laluan
berliku untuk sampai ke kampung itu.... ini semua menyukarkan pihak
keselamatan memberi bantuan segera sekiranya terjadi sesuatu insiden
buruk," katanya yang enggan dikenali. -
Bernama