HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Mac 2013

Mukriz: Berbilion ringgit akan masuk jika BN menang


MALAYSIA KINI


 
Pelabur asing dijangka membuat pelaburan berbilion ringgit sekiranya BN memenangi pilihan raya umum ke-13, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir.

Mereka kini menunggu masa yang sesuai untuk membawa masuk pelaburan ke negara ini, kata beliau.

Pelabur-pelabur asing berkenaan mahu melabur di Malaysia tetapi terpaksa mengambil 'sikap tunggu dan lihat' kerana hendak melihat keputusan pilihan raya selain tidak yakin dengan pakatan pembangkang, katanya.

NONE"Sikap tidak mesra pelabur dan gagal mengumumkan dasar serta perbelanjaan fiskal menyebabkan pelabur asing mengambil sikap tunggu dan lihat," kata Mukhriz kepada pemberita di Jerlun, hari ini.

Beliau ditemui selepas menyaksi penyerahan perjanjian kolaborasi antara Institut Automotif Malaysia (MAI) dengan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Jitra dan Politeknik Sultan Abdul Halim (Polimas).

Mukhriz yang juga anggota Parlimen Jerlun menganggar pelaburan yang menunggu untuk dibawa masuk mencecah berbilion ringgit.

Beliau berkata pelabur asing berkenaan masih tidak yakin untuk melabur kerana tidak pasti sama ada pakatan pembangkang akan meneruskan dasar-dasar BN sekiranya mereka memenangi pilihan raya.

"Kenyataan Menteri Kewangan Kedua Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanazlah bahawa hutang negara akan meningkat mendadak dengan rancangan belanjawan pakatan pembangkang turut membimbangkan pelabur," kata Mukhriz.

Mengenai bidang automotif, beliau berkata Malaysia berpotensi menjadi pusat pengembangan automotif bagi rantau Asia kerana dasar-dasar yang diperkenalkan menepati keperluan dalam industri tersebut.

Menurutnya sebanyak 30,000 kekosongan jawatan juruteknik mahir dan separa mahir perlu diisi dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 180,000 menjelang 2020.

Beliau berkata program MIA dengan ILP dan Polimas memberi ruang untuk golongan muda mendapat kemahiran dan diserap mengisi kekosongan tersebut akan membantu negara mengatasi masalah tenaga mahir dan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.- Bernama.

Tiada ulasan: