KUALA LUMPUR: Isu ketiadaan kad pengenalan (IC) membabitkan 300,000 kaum India di negara ini merupakan dosa terbesar kerajaan Umno BN, kata Timbalan Pengerusi Biro Hak Asasi Undang-undang KEADILAN, S Jayathas.
Katanya, selepas negara merdeka selama 55 tahun, masalah itu masih gagal diselesaikan dan kaum India tiada pilihan selain menukar kerajaan.
“Jika mereka (Umno BN) tak mahu dengar juga, jalan akhir kita tukar kerajaan lah. Mereka (masyarakat India) ditindas, tapi mereka tak bodoh,” katanya.
Ekoran itu, katanya, satu demonstrasi besar-besaran bakal diadakan di hadapan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya dalam masa terdekat.
Ia katanya kerana tiada tindakan diambil meskipun beberapa siri bantahan diadakan sebelum ini di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya dan Klang.
“Tiada tindakan dari JPN, tak apa. Mungkin mereka dengar tapi tak cukup kuasa nak bertindak. Jadi kita pergi pada ketua mereka (Perdana Menteri), kita tengok dia nak dengar atau tak,” Katanya ketika dihubungi.
Jayathas turut mempertikai Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin(6 P) yang dikatakan berjaya menyelesaikan isu kerakyatan membabitkan pendatang asing.
Sedangkan kaum India yang bergelar warganegara sah di bawah perlembagaan dilayan seperti ‘warga asing’, katanya.
“Najib perkenal macam-macam plan transformasi, tapi yang paling jelas dia cuma ‘transform’ (tukarkan) warga asing jadi warganegara untuk bantu undi. Kaum India yang sah jadi warganegara diabaikan,” Katanya kesal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan